Nasional

Kekurangan ubat bukan disebabkan pembelian panik, KJ

ALOR SETAR: Kekurangan bekalan ubat, terutama di farmasi tertentu dan fasiliti kesihatan swasta, bukan disebabkan oleh pembelian panik oleh orang ramai, kata menteri kesihatan Khairy Jamaluddin.

Sebaliknya, beliau berkata ini berikutan permintaan tinggi terhadap ubat-ubatan tertentu berikutan penularan varian Omicron Covid-19 sebelum ini dan peningkatan kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) kini.

Bagaimanapun, Khairy berkata ia bukan kekurangan di seluruh negara kerana ia hanya melibatkan beberapa lokasi dan ubat-ubatan tertentu. Beliau memberi jaminan bekalan ubat-ubatan di negara ini mencukupi.

“Banyak ubat-ubatan itu dikatakan kekurangan tetapi tidak kehabisan stok. Ubat-ubatan tersebut adalah untuk penyakit biasa seperti selesema, demam, sakit kepala dan sebagainya.

“Jadi, mungkin ini ada kaitan dengan ketika ramai yang dijangkiti Covid-19 dan selepas itu, HFMD melonjakkan permintaan untuk ubat-ubatan tersebut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata kementeriannya sedang menjalankan semakan dengan pengilang dan pengimport ubat bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai situasi bekalan selain mendapatkan maklum balas daripada Persatuan Perubatan Malaysia serta klinik swasta.

“Kami akan bekerjasama dengan syarikat pembuatan farmaseutikal sama ada untuk menyediakan ubat alternatif atau mengimport dari negara lain.

“Kami menerima beberapa aduan setiap hari dan kami akan cuba membantu mereka mendapatkan stok itu. Kemudahan kerajaan tidak mempunyai masalah seperti itu,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis penyampaian peralatan perubatan daripada kerajaan Jepun kepada kementerian berkenaan yang dihadiri Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko.

Mengulas sumbangan itu, Khairy berkata peralatan perubatan bernilai RM19.3 juta itu disumbangkan oleh Jepun untuk diagihkan kepada semua hospital kerajaan bagi menambah baik perkhidmatan di fasiliti berkenaan.

 

(Visited 136 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button