AnalisisBelang Bertempat

Kekalahan paling buruk BN, UMNO dalam sejarah PRU

Nak selamat daripada penolakan rakyat atau nak terkubur terus?

UMNO dan Barisan Nasional (BN) baru sahaja berhadapan dengan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) paling buruk dalam sejarah UMNO-BN.

Rata-rata pemimpin UMNO dan BN meminta Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan kedua-dua jawatan agar dengan berbuat demikian, ia akan memberi peluang kepada pengganti Zahid untuk mula membina semula keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN.

Dalam waktu terdekat ini, UMNO dan BN akan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Proses memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN perlu bermula dengan segera.

Adalah menjadi kebiasaan di mana-mana negara di dunia yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berperlembagaan, apabila sesuatu parti politik itu mengalami kekalahan yang teruk dan luas biasa, Ketua ataupun Presiden parti politik berkenaan akan meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada barisan pelapis mengambil alih.

Persoalan yang amat jelas, yang perlu ditanya ialah Siapa The Commander In Chief ketika Pilihan Raya Umum tersebut berlangsung?

Pasti Presiden UMNO ataupun Pengerusi Barisan Nasional-lah yang perlu mengambil tanggungjawab penuh di atas kekalahan ini. Tidak boleh dipersalahkan mana-mana pihak ke tiga dalam soal ini.

Langkah peralihan kuasa ini perlu diambil segera agar parti dapat dipulihkan segera. Agar parti dapat diberi muka baru dan nafas baharu untuk terus berhadapan dengan rakyat pada pemilihan-pemilihan akan datang.

TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI

Perlu diingatkan, Barisan Nasional beroleh kejayaan yang amat luar biasa pada Pilihan Raya Umum Ke-11 pada tahun 2004. Ketika dibawah pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, BN telah memenangi 198 kerusi Parlimen pada ketika itu. Itu merupakan satu pencapaian yang amat baik dan cemerlang.

Tetapi empat tahun kemudian pada Pilihan Raya Umum Ke-12, pada tahun 2008, kemenangan bergaya ini telah mulai susut kepada hanya 140 kerusi Parlimen sahaja.

BN hanya mampu menang 140 kerusi Parlimen pada PRU-12 tersebut dan 140 kerusi Parlimen ini dilihat sebagai suatu kegagalan kepada Tun Abdullah. Apatah lagi Barisan Nasional kehilangan pemerintahan di Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu.

Tun Abdullah diminta meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO. Tun Abdullah pada ketika itu akur dan melepaskan kesemua jawatan kepada Datuk Seri Najib Razak.

Manakala pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada tahun 2018, Barisan Nasional mengalami kekalahan buat kali pertama dalam 61 tahun sejarah negara.

Kedudukkan kerusi Barisan Nasional jatuh daripada 140 kerusi dengan tinggal hanya 79 kerusi Parlimen sahaja yang dimenangi.

Najib Razak mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan besar ini dan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO.

Kita melangkah ke hadapan dan melihat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 yang diadakan pada 19 November lalu. Daripada 79 kerusi Parlimen pada PRU14, Barisan Nasional hanya tinggal 43 kerusi Parlimen ketika berhadapan dengan PRU15.

Setelah kejayaan yang amat cemerlang di Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, BN amat mengharapkan akan beroleh kejayaan yang besar pada PRU15.

Sehinggakan Pengarah Pilihan Raya BN yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hassan mengeluarkan kenyataan bahawa sekiranya BN tidak berupaya menang 112 kerusi Parlimen, beliau, Tok Mat Hasan akan letak jawatan.

Hari ini, dengan amat jelas kelihatan bahawa BN daripada 43 kerusi Parlimen hanya tinggal 30 kerusi Parlimen sahaja. Prestasi terburuk Barisan Nasional dalam sejarah Pilihan Raya Umum Negara.

Ketika Tun Abdullah menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, ketika BN kehilangan kerusi Parlimen dari 198 kerusi kepada 140 kerusi. PunTun Abdullah diminta meletakkan jawatan dan bertanggungjawab penuh.

Inikan pula, sekarang Barisan Nasional hanya tinggal 30 kerusi Parlimen, Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi masih tidak mahu mengakui realiti bahawa ini adalah prestasi terburuk parti dalam mana-mana Pilihan Raya Umum Negara.

Zahid Hamidi seharusnya berjiwa besar dan meletakkan kepentingan parti Barisan Nasional dan UMNO sebagai satu kepentingan yang paling utama.

Selamatkan parti UMNO dan Barisan Nasional daripada terus tenggelam dibadai oleh penolakan rakyat. – SM

(Visited 1,298 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Dato' Saiful Bahar

Penulis merupakan bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2008-2009), bekas Setiausaha Sulit Kanan kpd. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2009-2013). Beliau juga bekas Penasihat Khas kpd. Menteri Peladangan dan Komoditi (2016-2018). Pernah bertugas dengan 3 Menteri dan seorang Timbalan Menteri serta telah berkhidmat di 8 Kementerian sepanjang 18 tahun di Putrajaya. Ketika ini, beliau merupakan Penganalisa Politik dan Polisi Kerajaan untuk Badan Bebas dan News Portal.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button