Nasional

Kekal patuhi SOP walaupun Perlis bebas Covid – Raja Muda

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menasihatkan rakyat negeri ini agar kekal cergas dalam keadaan mematuhi SOP walaupun Perlis tidak disenaraikan terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Sri Ismail Sabri baru-baru ini.

Menurut baginda, aktiviti senaman dan kecergasan fizikal sekurang-kurangnya dua kali seminggu tanpa mengira usia mahupun jantina menurut kemampuan peribadi masing-masing perlu diberikan perhatian serta sentiasa diamalkan demi mengekalkan tahap kesihatan yang baik sesuai dengan slogan ‘Rakyat Perlis Hidup Sihat, Cergas dan Rajin’.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menzahirkan kesyukuran atas pengekalan Perlis tanpa kes jangkitan baharu Covid-19 selama 25 hari selepas 12 Oktober lalu.

“Walaupun Perlis dalam keadaan terkawal dan belum disenaraikan dalam PKPB, namun kita janganlah sekali-kali ambil mudah sehingga meninggalkan SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Sentiasalah mempraktikkan amalan beringat-ingat iaitu “Think Red, Protect Green” jelas baginda.

Tuanku Raja Muda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan program menjejaki dan menyantuni asnaf ‘MAIPs Peduli’ Kali Ke 58 bagi tahun 2020 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kg Kaki Bukit yang bermula di perkarangan Dewan Besar Felcra Lubuk Sirih.

Keberangkatan baginda yang diiringi Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dimulakan dengan acara berjalan kali mendaki Bukit Wang Kelian yang terletak di jajaran Banjaran Nakawan selain singgah di beberapa rumah asnaf untuk pengagihan sumbangan agihan zakat MAIPs.

Turut serta ialah Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohd Radhi Abas, Ketua Polis Negeri, Datuk Surina Saad dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Ketika berada di puncak ‘Viewing Point Wang Kelian’, sambil menikmati keindahan panorama alam, baginda berdua turut berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada enam orang asnaf terpilih sebagai ‘Projek Sumbangan Sosio Ekonomi Usahawan MAIPs’ bagi mereka yang baru sahaja memulakan perniagaan.

Program baginda diakhiri dengan meninjau ke Kompleks Integrated Business Centre (IBC) di Kawasan Pembangunan Lembah Chuping (CVIA) Padang Besar.

(Visited 165 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button