fbpx
Ekonomi

Kedah perkasa kedudukan dalam industri kertas teknologi hijau

KEDAH memperkasa kedudukannya dalam pembangunan industri kertas teknologi hijau dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pelaburan bernilai RM1.6 bilion dengan Zhejiang Element Holding Co.Ltd, Invest Kedah Berhad dan Genting Ehsan (SP) Sdn Bhd, hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata MoU bersama syarikat dari China itu melibatkan tiga bentuk pelaburan iaitu pembangunan kilang lantai kayu, pembangunan kilang kertas teknologi hijau dan kerjasama dengan kerajaan negeri berkaitan industri perkayuan dan perhutanan termasuk membawa teknologi moden bagi sektor penanaman dan pemprosesan pokok kayu putih atau dikenali sebagai Eucalyptus.

“Pelaburan pertama yang melibatkan pelaburan anak syarikat Zhejiang iaitu Yunhua Timber Company Limited itu akan membangunkan fasiliti pembuatan lantai kayu dengan pelaburan RM150 juta di kawasan Perindustrian Bukit Selambau, Sungai Petani. Pembinaannya telah 80 peratus siap dan dijangka beroperasi beberapa bulan lagi.

“Pelaburan kedua pula melibatkan pembangunan fasiliti pemprosesan kertas berteknologi hijau dengan kapasiti pengeluaran harian 1.3 juta tan dengan nilai pelaburan RM1.6 bilion dan akan dibahagikan kepada tiga fasa pembangunan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Tan Kok Yew menyaksikan majlis menandatangani MoU itu oleh Pengurus Besar Kanan Invest Kedah Berhad, Zafir Annuar Ghazali dan Presiden Zhejiang Element Holding Co.Ltd, Jin Yeuhua (HE) serta Pengurus Besar Genting Ehsan (SP) Sdn Bhd, Gan Boon Tian.


Mukhriz berkata MoU itu juga melibatkan kerjasama dengan kerajaan negeri yang berkaitan dengan industri perkayuan dan perhutanan termasuk membangunkan ladang pokok kayu putih serta mewujudkan rantaian industri ekologi baharu di negeri ini.

“Buat masa ini pokok Eucalyptus ini ditanam di Cameron Highlands, Pahang. Sebelum ini, apabila projek ladang hutan ditebang, tiada tanaman yang ditanam semula dan Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) bertanggungjawab untuk menanam semula pokok hutan.

“Sebelum ini, pokok durian telah ditanam di kawasan yang ditebang tetapi ia tidak dibenarkan kerana Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli telah menetapkan jenis pokok yang boleh ditanam semula. Jadi, kita akan lihat sama ada pokok Eucalyptus itu boleh ditanam bagi tujuan pembekalan,” katanya.

Katanya, dengan menandatangani MoU itu, Invest Kedah Berhad akan bertindak sebagai fasilitator dalam membantu Zhejiang Element Holding Co.Ltd dan rakan kongsi strategiknya, Genting Ehsan (SP) Sdn Bhd untuk merealisasikan pelaburannya di negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata menurut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), bagi tempoh Jan hingga Sept 2019, Kedah telah menerima pelaburan bernilai RM7.8 bilion sekali gus membolehkan negeri ini berada di kedudukan ketiga dari segi pelaburan tertinggi selepas Pulau Pinang dan Selangor. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button