Kedah larang semua konsert terbuka – Exco pelancongan
Kerajaan Kedah memutuskan untuk tidak membenarkan semua konsert terbuka di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mohd Firdaus Ahmad.
Beliau berkata keputusan itu dibuat susulan perbincangan dengan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor semasa mesyuarat exco kerajaan negeri baru-baru ini.
“Saya membentangkan isu itu dalam mesyuarat dan keputusan yang dibuat kerajaan negeri adalah melarang dan tidak membenarkan sebarang konsert terbuka di Kedah.
“Ada yang kata kerajaan negeri tak benarkan apa-apa program dianjurkan, jangan salah faham, tak ada masalah kalau nak buat program, tapi kalau nak selitkan konsert terbuka ke dalam program itu. Itu tidak dibenarkan,” katanya selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat negeri di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas hasil perbincangan dengan menteri besar mengenai larangan konsert terbuka di Kedah.
Firdaus berkata oleh itu, sebarang permit hiburan yang diminta penganjur kepada pegawai daerah tidak akan diluluskan.
“Semua pegawai daerah sudah mengetahui prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, sekiranya permohonan yang diminta adalah tepat, dan mematuhi SOP, maka permit menjalankan program akan diberikan.
“Bukan semua yang dilarang, contohnya konsert nasyid, busking, atau program yang dijalankan di dewan atau tertutup, ia mungkin masih dipertimbangkan oleh pegawai daerah,” katanya.
Sanusi dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan sebarang konsert hiburan yang menggalakkan tingkah laku tidak beretika tidak dibenarkan di Kedah.
Larangan itu susulan tersebarnya rakaman video persembahan kumpulan muzik di atas pentas yang disaksikan oleh belia berhampiran Balai Seni Lukis Negeri Kedah – yang akhirnya menyebabkan orang ramai melakukan pelbagai aksi termasuk menari – dan mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat, memandangkan ia diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir.