Nasional

Dana pinjaman RM10 bilion dalam Bajet 2023 galak automasi, pendigitalan sektor PKS

PENAWARAN dana pinjaman untuk menggalakkan aktiviti automasi dan pendigitalan dalam kalangan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mampu melonjakkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih baik.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata ia akan lebih berkesan sekiranya dana pinjaman itu dapat menawarkan sifar kadar faedah buat peminjamnya.

“Aspek lain ialah perlu memanfaatkan kepakaran tempatan sama ada dari syarikat tempatan atau pun luar negara untuk proses digitalisasi dan automasi. PKS perlu mengambil peluang untuk proses digitalisasi, kemudian boleh pergi kepada automasi yang dalam terma perniagaan kita panggil sebagai e-bisnes, iaitu hasil transformasi dari e-commerce kepada e-bisnes.

“Jadi ada tiga proses, iaitu permulaan kemudian e-dagang atau digitalisasi dan barulah e-niaga,” katanya kepada BERNAMA.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat semalam berkata selain pembiayaan mikro, kerajaan juga menyediakan pinjaman yang menyokong syarikat kecil dan sederhana.

Tengku Zafrul berkata melalui Bank Negara Malaysia, RM10 bilion dana pinjaman disediakan antaranya untuk menggalakkan aktiviti automasi dan pendigitalan PKS serta menyokong agenda sekuriti makanan dan pemulihan sektor pelancongan.


Sementara itu, Presiden Kelab Belia Prihatin Luqman Hakim Md Zim berkata inisiatif e-Pemula dilaksanakan kerajaan dapat meringankan beban kewangan penerima yang terkesan susulan pandemik COVID-19.

“Di samping itu inisiatif tersebut dapat menggalakkan perbelanjaan secara tanpa tunai dan transaksi tanpa tunai oleh perniagaan fizikal,” katanya.

Program e-Pemula ialah sebuah Skim Transaksi Tanpa Tunai khas untuk golongan belia berumur 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi.

Tengku Zafrul menerusi pembentangan Bajet 2023 berkata inisiatif e-Pemula dengan peruntukan sejumlah RM400 juta diteruskan dengan jumlah kredit dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 yang memanfaatkan dua juta belia.

Bagi membudayakan pembayaran tanpa tunai, Tengku Zafrul berkata inisiatif e-Pemula M40 akan dilaksanakan iaitu tawaran kredit e-dompet sebanyak RM100 kepada kumpulan M40 berpendapatan tahunan di bawah RM100,000 dan memanfaatkan seramai lapan juta individu yang layak membabitkan peruntukan sebanyak RM800 juta.

(Visited 41 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button