Nasional

Pekebun kecil getah Felda terima RM800 bantuan musim tengkujuh, kata Ismail Sabri

BANTUAN musim tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah yang dinaikkan kepada RM800 berbanding RM600 sebelum ini seperti yang diumumkan dalam Bajet 2023 turut diperuntukkan kepada pekebun kecil getah Felda di seluruh negara, kata Ismail Sabri Yaakob.

Perdana menteri berkata justeru bagi membolehkan mereka menerima bantuan itu, dasar pemberian yang mensyaratkan hanya pekebun kecil getah yang mempunyai tanah seluas bawah lima ekar (2.02 hektar) sebelum ini akan diubah kepada 10 ekar (4.05 hektar) ke bawah.

“Dulu kita payah nak bagi sebab (syaratnya) lima ekar ke bawah sedangkan di Felda kebanyakan mereka ada tanah 10 ekar ke bawah, jadi kita minta ubah dasar itu untuk membolehkan mereka dapat (BMT). Kita tahu harga getah turun dan mereka langsung tak boleh menoreh getah sebab musim hujan.

“Menoreh musim hujan tapi susu getah bercampur air hujan, saya tahu kesusahan pekebun kecil termasuk mereka di Felda. Jadi apa yang pekebun kecil Risda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) dapat iaitu sebanyak RM200 sebulan untuk empat bulan maka pekebun kecil getah di Felda juga akan dapat, inilah kerajaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Kenduri Sekampung Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Sembilan, di sini hari ini. Turut hadir Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Jempol Mohd Salim Mohd Sharif. – BERNAMA


(Visited 88 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button