BeritaPolitik

Kecewa dorong Rafizi tinggalkan dunia politik?

NAIB Presiden PKR, Rafizi Ramli semalam mengumumkan beliau akan ‘bersara’ dalam bidang politik selepas beberapa hari lalu memberi bayangan mahu berehat sementara.

Katanya, beliau mahu lebih menikmati hidup sebagai ‘orang biasa’ dan dalam masa sama, mendalami kemahiran bidang teknologi digital.

Langkah itu susulan pembebasannya daripada hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mendedahkan data bank berkaitan National Feedlot Corporation pada 15 November lalu.

National Feedlot Corporation adalah syarikat penternakan lembu yang menjadi antara isu hangat dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-14.

Peranan bekas Ahli Parlimen Pandan ini dalam membantu Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum tersebut ternyata amat besar.

Tanpa Rafizi, mungkin PH tidak akan memperolehi ‘data-data lengkap’ yang membabitkan banyak lagi isu penting negara.

Namun, setelah semuanya (pilihan raya) selesai dan juga dibebaskan oleh mahkamah, Rafizi seolah-olah serik untuk berpolitik lagi.

Apakah benar beliau mahu ‘bersara’ kerana penat atau semakin menyedari bahawa perjuangannya selama ini hakikatnya gagal mengubah landskap politik negara ke arah lebih telus dan bersih?

Tidak dinafikan, banyak desakan yang dibuat terhadap kerajaan terdahulu dan disokong rakyat, masih belum dapat direalisasikan kerajaan PH.

Faktor ‘kekurangan wang’ menjadi alasan kerajaan hari ini untuk mengotakan janji mereka.

Pada masa sama, rakyat terus bergelut dengan kos sara hidup yang semakin tinggi walaupun isu rakyat ini menjadi keutamaan dalam kempen PH.

Dikhabarkan lebih banyak lagi syarikat akan gulung tikar selain pembelaan terhadap nasib pekerja dan bekas pekerja tidak diberi perhatian.

“Saya nyatakan dengan jelas saya tidak akan kembali dalam bidang politik. Saya berada dalam fasa kehidupan perlu belajar.

“Hanya dengan belajar kita akan jadi lebih baik dan menyumbang lebih baik. Buat masa ini, saya teruja memberi tumpuan kepada AI (kepintaran buatan), pembelajaran mesin dan IoT (Internet of Things),” ciapnya dalam Twitter beliau semalam.

Ciapan terbaharunya itu secara tidak langsung, mungkin menggambarkan ‘kekecewaannya’ terhadap senario terkini politik negara.

Selain perpecahan yang berlaku dalam kepemimpinan PKR, hubungan tidak mesra antara beliau dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat antara punca kekecewaanya sehingga membuat keputusan itu.

Di sebalik kekecewaan Rafizi, rakyat mungkin lebih kecewa dengan tindakan ‘melepaskan diri’ tersebut. Ini kerana Rafizi merupakan individu yang ‘membuka mata’ rakyat terhadap banyak isu penyelewengan yang membabitkan pemimpin.

Malah beliau yang digelar sebagai ‘pakar formula’ oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut ditanya tentang ‘perjuangannya’ itu.

“Adakan ini bermaksud formula harga minyak RM1.50, formula PTPTN mansuh, formula harga kereta murah (harga Myvi RM25,000 je) dan formula tol mansuh juga terbatal dengan sendirinya?

“Minta penjelasan PH,” kata Najib menerusi hantaran dalam akaun Facebook beliau hari ini.

Najib secara sinis juga bertanya kepada Rafizi adakah keputusannya meninggalkan dunia politik disebabkan tidak menerima ucapan tahniah daripada pemimpin dan penyokongnya susulan pembebasannya oleh mahkamah.

“Sebab tak cukup orang ucap tahniah ke?

“Maka pakar formula merajuk?

“Jangan la lagi hilangkan diri.

“Takkan tak buat video formula-formula lagi.

“Banyak berhutang janji-janji dengan rakyat ni,” kata Najib merujuk kepada keputusan Rafizi itu.

Apapun, Rafizi masih Naib Presiden PKR.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button