Berita

Agong harap hubungan Malaysia-UK terus berkembang

LONDON, 11 Dis — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang kini dalam lawatan khas ke United Kingdom (UK) berkenan berangkat ke majlis santapan malam bersama kira-kira 300 rakyat Malaysia, Selasa.

Seri Paduka berdua turut meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan para hadirin.

Pada majlis yang berlangsung selama tiga jam itu, Al-Sultan Abdullah, semasa menyampaikan titah, menzahirkan harapan hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom akan terus berkembang maju pada masa hadapan.

Al-Sultan Abdullah bertitah hubungan kedua-dua negara selama ini berjalan dengan baik antaranya kerana wujud persamaan dalam sistem pentadbiran yang bertunjangkan kepada sistem raja berpelembagaan.

“Beta juga difahamkan bahawa Malaysia di kedudukan nombor dua, sebagai rakan dagang terbaik United Kingdom dalam kalangan negara ASEAN dan UK adalah rakan dagang keempat terbaik dalam kalangan negara Eropah bagi negara kita. Kita perlu perkukuhkan lagi hubungan dua hala ini yang telah terjalin sejak sekian lama,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat Malaysia di United Kingdom supaya menjadi warga yang baik dan sentiasa menjaga nama baik negara.

Terdapat kira-kira 75,000 rakyat Malaysia menetap dan bekerja di UK termasuk 19,000 penuntut yang melanjutkan pengajian di universiti-universiti tempatan.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah beramah mesra dengan hadirin pada majlis santapan malam bersama rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) di sini pada Selasa.

Turut hadir pada majlis santapan itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Mohamad Sadik Kethergany.

Pada lawatan khas itu, Seri Paduka berdua turut dijadual berangkat ke majlis santapan tengah hari yang akan dihoskan Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham pada Khamis.

Lawatan khas ke UK merupakan lawatan keempat oleh Al-Sultan Abdullah selepas lawatan khas Seri Paduka ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jepun masing-masing pada Jun, Julai dan Oktober lepas sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari.

— BERNAMA

(Visited 93 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button