Nasional

Kebajikan penuntut yang masih berada di kampus dijaga

IBU bapa yang anak mereka masih berada di kampus tidak perlu risau kerana kebajikan mereka akan dijaga.’

Itu jaminan yang diberikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad ekoran masih ada mahasiswa dan mahasiswi yang berada di kampus IPT masing-masing sementara menunggu giliran untuk pulang.

“Jangan risau, anak-anak tuan dan puan yang masih berada di kampus ini insya-Allah akan berada di bawah jagaan kampus masing-masing. Pihak universiti sentiasa mengambil tahu mengenai keadaan, keselamatan dan kesihatan mereka.

“Kementerian dan IPT serta anggota terlibat juga berusaha sepenuhnya dalam memastikan semua pelajar dapat pulang ke kampung halaman. Mereka (pelajar) ini akan bergerak secara berperingkat,” katanya kepada media selepas meninjau persiapan dan prosedur pergerakan pulang penuntut ke rumah masing-masing di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) malam tadi seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA.

Beliau juga meminta penuntut yang masih berada di IPT agar bersabar menunggu giliran untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Makan dan minum pelajar akan disediakan seperti biasa kepada mereka yang masih berada di kampus,” katanya.

Semalam, sejumlah 790 penuntut IPT berlepas dari sembilan pusat pelepasan yang terdiri daripada IPT di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya untuk pulang ke kampung halaman.

Mengenai proses pergerakan pulang pelajar ke Sabah dan Sarawak pada 1 Mei ini, Noraini berkata mereka akan berdepan proses lebih kurang sama dengan pergerakan kumpulan pertama malam tadi.

“Pelajar akan dikumpulkan sebelum memulakan pergerakan melalui ‘penerbangan sewa khas’ yang diusahakan kerajaan.

“Insya-Allah kerajaan menanggung semua bayaran pengangkutan balik pelajar,” katanya.

Sementara itu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan masih mengkaji prosedur operasi standard (SOP) bagi membantu penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang berada di zon hijau pulang ke kampung masing-masing di zon merah atau sebaliknya.

“Kita sedang fikirkan cara terbaik untuk bantu penuntut pulang dari zon hijau ke zon merah atau dari zon merah ke zon hijau supaya mereka juga boleh balik,” kata Menteri Pertahanan itu.

Zon hijau merupakan kawasan bebas jangkitan COVID-19 sementara zon merah merupakan kawasan penularan jangkitan. – SM

(Visited 46 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button