Ekonomi

Hotel lima bintang di Lembah Klang tutup operasi hingga hujung tahun

SEBUAH hotel lima bintang dengan 500 bilik di Lembah Klang bakal menutup operasinya hingga hujung tahun ekoran perniagaan terjejas akibat wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Memetik laporan Free Malaysia Today, dalam satu memo kepada para pekerjanya yang bocor kepada umum, pekerjanya diberitahu untuk mengambil cuti tanpa gaji sepanjang tempoh penutupan itu.

Kakitangan tetap bagaimanapun diberi jaminan akan kembali diambil bekerja apabila hotel itu menyambung opeasi.

“Pekerja juga dibenarkan bekerja sementara atau berdasarkan kontrak dengan syarikat lain,” kata sumber kepada FMT.

Difahamkan bahawa para pekerja akan menerima setengah bulan gaji untuk bulan April.

“Kami harap kakitangan bersetuju secara sukarela untuk menghantar borang cuti tanpa gaji. Ini untuk tempoh sehingga Disember 2020 atau Jun 2021 berdasarkan pilihan anda,” kata tokoh korporat yang memiliki hotel itu dalam surat berasingan.

Dalam surat itu juga, beliau menjanjikan perubahan besar kepada mereka yang memilih untuk kekal di hotel itu.

Pengurusan hotel berkata, mereka tidak mempunyai pilihan melainkan membuat keputusan drastik itu ekoran kehilangan pendapatan ketika perniagaan di seluruh negara terpaksa dihentikan di bawah PKP.

Katanya, ia meletakkan semua mereka dalam keadaan yang sukar.

Tetapi pekerja yang dihubungi FMt melahirkan kebimbangan kemungkinan mereka tidak layak mendapat pampasan di bawah Skim Insurans Pekerja.

Ini kerana mereka yang memilih cuti tanpa gaji tidak dianggap sebagai diberhentikan.

PKP yang dilaksanakan di seluruh negara sejak 18 Mac lalu telah menyebabkan banyak perniagaan terpaksa menghentikan operasi mereka.

Hanya perniagaan bagi sektor penting sahaja yang dibenarkan beroperasi sepanjang PKP, yang mana menyebabkan majikan terutama daripada sektor perniagaan kecil dan IKS terpaksa menghentikan pekerja mereka ekoran tidak ada pendapatan untuk membayar gaji.

Mereka yang paling teruk terjejas ialah yang terlibat dalam sektor pelancongan kerana segala aktiviti terbabit sama ada ada domestik atau antarabangsa semua terhenti.

Ini menyebabkan sebahagian besar hotel terpaksa membuang pekerja atau meminta mereka bercuti tanpa gaji bagi mengurangkan kos yang perlu ditanggung. – SM

(Visited 498 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button