Sukan

Ke mana hala tuju Hafizh selepas ini?

SEJAK ditimpa kemalangan dalam perlumbaan di Austria, Ogos lalu pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah masih bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaiknya.

Keadaan Hafizh terumbang-ambing, tanpa keputusan yang meyakinkan.

Keputusan terbaru dalam perlumbaan yang berlangsung di Aragon, Sepanyol, semalam, pelumba Aspar Team itu sekali lagi melengkapkan aksinya di luar kedudukan mata iaitu di tempat ke-19.

Apa yang lebih membimbangkan ialah tentang masa depan anak muda berusia 26 tahun itu. Aspar Team telahpun mengumumkan dua pelumba yang akan bersaing bersama pasukan tersebut, musim depan dan Hafizh tidak lagi menjadi pilihan mereka.

Pasukan berpangkalan di Sepanyol itu melengkapkan barisan pelumbanya bagi saingan Moto2 untuk musim 2021 dengan mengikat perjanjian bersama pendahulu kelas Moto3 musim ini, Albert Arenas ke dalam pasukan kelas pertengahan itu. Arenas bakal bergandingan dengan senegaranya, Aron Canet.

Namun, terdapat khabar terbaru tentang Hafizh yang dia kini sedang berunding dengan dua pasukan.

Menurut laporan Stadium Astro yang menemubual bapa Hafizh, Abdullah Harun memaklumkan pelumba itu sedang berunding bersama dua pasukan yang mempunyai kaitan dengan pengeluar Honda.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan daripada mulut Hafizh sendiri yang mahu memberi fokus kepada perlumbaan musim ini yang masih berbaki empat pusingan.

Mengulas mengenai perlumbaan, semalam, Hafizh mengakui aksi di Aragon itu sangat sukar buatnya.

“Saya tidak mampu memulakan saingan dengan baik, tetapi saya berjaya mendapatkan kembali kedudukan saya pada selekoh pertama.

“Sewaktu perlumbaan saya cuba memperbaiki kedudukan saya, namun kami gagal mendapatkan pelarasan jentera yang bagus untuk Speed Up,” kata Hafizh yang dipetik kenyataannya menerusi laman web Aspar Team.

Menurutnya, pada setiap sesi latihan, krew pasukan berusaha melakukan sesuatu agar dia dapat berlumba dengan selesa, tetapi mereka gagal berbuat demikian.

“Saya gagal mengekalkan rentak dengan baik dan jentera saya kurang laju di selekoh. Ini bukan keputusan yang saya mahukan kerana sasaran saya ialah untuk mengutip mata,” tegasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button