Mahkamah

Prosiding inkues Nora Anne terpaksa ditangguh

Saksi kontak rapat pesakit Covid-19

MAHKAMAH Koroner Seremban hari ini terpaksa menangguhkan prosiding inkues bagi menentukam kematian remaja perempuan berusia 15 tahun, Nora Anne Quoirin selepas seorang saksi didapati kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Peguam kepada keluarga remaja warga Ireland-Perancis itu, S. Sakthyvell ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, permohonan penangguhan itu dibuat oleh pasukan pengendali inkues pagi tadi.

Beliau berkata, bagaimanapun, prosiding itu akan diteruskan seperti biasa esok dengan saksi akan memberi keterangan menerusi aplikasi Zoom.

“Saya hanya mendapat pemakluman mengenai perkara itu pada pukul 5.30 pagi tadi oleh penolong pendaftar mahkamah.

“Tetapi dimaklumkan saksi berkenaan telah dikuarantin dan telah jalani ujian calitan serta masih menunggu keputusan.

“Saksi itu yang kontak rapat dengan pesakit juga telah membuat satu mesyuarat dengan pihak pengendali inkues minggu lepas,” katanya.

Sekarang, kami sedang menunggu keputusan, kalau positif mungkin pihak pengendali terpaksa buat ujian calitan, ujar beliau.

“Itulah alasan pihak pengendali kerana mereka juga baru tahu saksi merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 semalam,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah juga memaklumkan sebarang perkembangan prosiding akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Esok, seramai tiga orang saksi daripada polis akan memberi keterangan menerusi Zoom.

Prosiding inkues berkenaan berlangsung di hadapan Koroner Maimoonah Aid dan setakat ini, seramai 19 saksi telah dipanggil.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di Port Dickson, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah.

Dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan. – SM

(Visited 121 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button