fbpx
Ekonomi

KDNK Malaysia berkembang 6.3 -7.5% tahun depan – Tengku Zafrul

AGENSI-AGENSI antarabangsa telah mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2021 akan berada dalam sekitar 6.3% hingga  7.5%, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, unjuran itu bergantung kepada kejayaan berterusan Malaysia dalam mengurus Covid-19 serta memacu dan memelihara ekonomi ke arah pemulihan dan pertumbuhan.

“Memandangkan Malaysia mempraktikkan ekonomi terbuka, sama ada pertumbuhan kita akan bentuk U ataupun V, ia tertakluk kepada faktor luaran seperti pemulihan rakan dagang utama kita serta rantaian bekalan global,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada acara “Invest Malaysia 2020” yang berlangsung hari ini.

Untuk rekod, semalam, Malaysia mencatatkan hanya lima kes baharu Covid-19 dengan 198 kes aktif serta kadar pemulihan sekitar 98% setakat ini.

“Kadar jangkitan mungkin rendah di negara kita, tetapi masyarakat sentiasa diingatkan agar jangan terlalu leka.

“Setiap orang telah diminta untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pelbagai sektor dan aktiviti bagi mencegah jangkitan baharu di negara ini,” kata beliau.

Tengku Zafrul berkata, untuk tahun ini, KDNK telah dianggarkan dalam sekitar -3.8% hingga 0.5% oleh pelbagai agensi.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi berada dalam lingkungan -2.0% hingga – 0.50%, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) (-3.8%) dan Bank Dunia (-3.1%).

“Ini memang dijangka sepenuhnya memandangkan lebih 150 daripada 195 negara di dunia diramal mencatatkan pertumbuhan negatif untuk tahun ini.

“Tetapi, apa yang paling penting adalah memastikan krisis kesihatan dunia tidak berubah menjadi krisis ekonomi.

“Dan itu sebabnya Malaysia telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA),” jelas beliau. – BERNAMA-SM

Show More

Related Articles

Back to top button