KBS mahu pembangunan e-sukan dinikmati di seluruh negara – Syed Saddiq
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mahu memastikan pembangunan sukan elektronik (e-sukan) dapat dinikmati bersama, di setiap peringkat di seluruh negara.
Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata melalui Pelan Strategik Pembangunan e-Sukan, kerajaan akan memastikan peruntukkan RM20 juta dalam Bajet 2020 dapat dimanfaatkan sebaik mungkin, untuk tujuan pembangunan e-sukan tersebut.
Tegasnya, KBS bercadang untuk menganjurkan sistem liga bagi e-sukan yang dilihat mampu untuk melahirkan lebih ramai atlet yang berdaya saing, di peringkat antarabangsa selain memberi ruang kepada pasukan baharu bertanding secara lebih profesional.
“Akan datang kita ada liga kebangsaan yang buat pertama kali diadakan di peringkat negeri, supaya e-sukan dapat dirasai melalui semua peringkat di Malaysia, bukan hanya di bandar tapi termasuk luar bandar.
“Pada masa yang sama kita mahu perkembangan industri ini dapat dirancang, dengan menganjurkan lebih banyak pertandingan di peringkat antarabangsa. Kita juga mahu pastikan lebih banyak pelaburan dari luar dalam e-sukan ini,” katanya selepas melancarkan Pelan Strategik Pembangunan E-Sukan di Universiti Malaya malam ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada bulan lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan mengiktiraf potensi tinggi e-sukan dan akan meningkatkan peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2020.
Pelan strategik pembangunan e-sukan akan memberi penekanan kepada lima strategi utama, meliputi pemegang taruh dalam industri seperti pemain profesional, penggerak industri, pelabur dan agensi kerajaan.
Pelan strategik lima tahun dari 2020-2025 ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan hala tuju e-sukan, dapat berkembang secara menyeluruh di Malaysia.
Mengikut rekod, pada tahun lepas, Malaysia mendapat pengiktirafan sebagai antara negara yang mampu menarik dan membuka peluang mengembangkan industri e-sukan dengan lebih meluas, dengan kejayaan menganjurkan beberapa siri kejohanan di peringkat global seperti Kuala Lumpur Major Dota 2, Mobile Legends World Championship 2019 dan World Esports Games (WESG).
Buat julung-julung kalinya, e-sukan juga akan menjadi salah satu acara dipertandingkan untuk pingat pada Sukan SEA 2019 dan Sukan Asia 2022. – BERNAMA