Politik

Tiada tawaran kepada Syed Saddiq, kata Wan Ahmad Fayhsal

TIADA sebarang tawaran dibuat kepada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyelamatkan beliau daripada dakwaan pengubahan wang haram dan pecah amanah.

Ketua Armada Nasional Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan tuduhan Syed Saddiq bahawa beliau membuat tawaran tersebut sebagai balasan agar Ahli Parlimen Muar itu menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

“Namun, saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang tohmahan yang telah dilontarkan kepada saya. Saya tidak membuat apa-apa tawaran atau ugutan. Ini tidak benar,” kata Wan Ahmad Fayhsal.

Beliau bagaimanapun mengesahkan telah mengadakan pertemuan dengan Syed Saddiq baru-baru ini.

Pertemuan tersebut atas kapasiti peribadi dan persahabatan yang telah terjalin antara beliau dan Syed Saddiq sebelum ini.

“Pertemuan ini adalah atas kapasiti peribadi dan persahabatan. YB Syed Saddiq adalah seorang pemimpin belia, mantan Menteri Belia dan Sukan, mantan Ketua ARMADA Bersatu, dan masih menjalankan peranan dalam memimpin wacana semasa di kalangan anak muda. Saya menganggap YB Syed Saddiq sebagai sahabat, adik dan rakan seperjuangan.

“Idea yang saya bawakan adalah mengetepikan perseteruan politik dan menggembleng semangat penyatuan anak muda demi untuk membina semula negara secara bersama. Anak muda membentuk kumpulan terbesar pengundi hari ini, malah lebih separuh daripada keahlian BERSATU,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal turut menegaskan bahawa dakwaan terhadap Syed Saddiq dibuat berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh Ahli Parlimen Muar itu.

Beliau meminta Syed Saddiq agar mempertahankan dirinya di mahkamah jika yakin tidak bersalah.

“Dakwaan bahawa kes mahkamah yang sedang dihadapi telah ‘direka’ amatlah tak berasas kerana laporan polis yang membawa kepada kes ini dibuat oleh YB Syed Saddiq sendiri.

“Sekiranya beliau yakin bahawa beliau tidak bersalah, mahkamah adalah forum terbaik untuk membuktikan kebenaran ini. Kami akan sentiasa doakan yang terbaik dan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya.

Sebelum ini Syed Saddiq mendakwa Wan Ahmad Fayhsal memujuknya untuk kembali kepada parti itu dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Dakwa Syed Saddiq, ajakan itu dibuat sebelum dia didakwa di mahkamah

Hari ini Syed Saddiq di dakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram tiga tahun lalu.

Sebelum ini beliau turut didakwa dengan dua pertuduhan berkaitan pecah amanah dan salah guna wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kesemua pertuduhan melibatkan wang bernilai lebih RM1 juta ringgit.

 

 

(Visited 694 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button