Kawan sahaja dengan PU Riz, kalau bertemu jodoh saya beritahu – Neelofa
BARU-BARU ini nama Neelofa sekali lagi dikaitkan bercinta dengan Pencetus Ummah (PU), Haris Ismail selepas pernah didakwa bercinta sebelum ini.
Desas desus berkenaan hubungan tersebut mula muncul selepas PU Riz dilihat berada di majlis perkahwinan adik pelakon tersebut.
Menariknya, kehadiran PU Riz di majlis itu berpakaian mengikut tema warna pakaian keluarga Neelofa.
Malah, kakak Neelofa sendiri sempat merakam dan memuat naik satu status Instastories kedua-dua pasangan tersebut beserta dengan emoji ‘cinta’.
Bagaimanapun, Neelofa memberitahu yang hubungannya bersama dengan PU Riz sebenarnya cumalah sekadar rakan sekerja sahaja.
“Kami sudah kenal sejak tiga tahun yang lalu dan dia juga rapat dengan dengan keluarga saya yang lain sebab selalu mengadakan kelas agama dan mengaji bersama.
“Hubungan itu lebih daripada sekadar bekerja sama sebab itu dia hadir ke majlis perkahwinan itu kerana adik saya, Aqief sendiri yang mengundangnya,” katanya seperti dilaporkan Kopiplanet.
Menurut Neelofa lagi, buat masa ini dia hanya boleh menafikan hubungan cintanya bersama PU Riz.
“Jangan risau, sekiranya sudah bertemu jodoh, saya akan beritahu,” katanya.
Dalam pada itu, Neelofa juga meminta supaya isu baju sedondon itu tidak diceritakan lebih lanjut kerana risau boleh membawa kepada kemudaratan.
Jelasnya, ada beberapa perkara yang boleh dikongsi dan ada juga yang tidak perlu diceritakan lebih lanjut kepada umum. -SM