“Katering Bergerak” rombongan bas Cik Muna buat ahli seronok melancong sambil makan sedap
KONSEP “katering bergerak” bagi penganjuran rombongan bas sekaligus memberikan pengalaman percutian yang sangat menarik.
Percutian ala ini sebenarnya sekian lama diamalkan oleh Rosmuna Ibrahim atau lebih dikenali Cik Muna selaku ketua rombongan.
Seperti kata Cik Muna, “tidak akan sesiapa ahli rombongan yang akan dibiarkan kelaparan di sepanjang perjalanan bercuti,”.
Jadi bagi yang telah biasa mengikuti rombongan Cik Muna pastinya tidak akan melepas peluang ini jika destinasi perjalanan baharu mula dibuka untuk pendaftaran.
Biasanya setakat ini rombongan ini hanya disertai oleh kaum wanita yang tinggal di kawasan Bintong.
Selain menawarkan harga tambang berpatutan, Cik Muna membuka peluang ahli berkongsi sedekah barang makanan dan keperluan lain untuk “katering bergeraknya”.
Katanya, beras, gula, kopi, sardin, bihun serta bahan mentah lain untuk dimasak bagi dinikmati oleh 44 anggota rombongan termasuk dua pemandu,” katanya ketika menganjurkan rombongan bas dua hari satu malam ke Terengganu dan Kelantan.
Beliau menambah, keuntungan dari penganjuran rombongan ini pula akan disalurkan untuk “kongsi sedekah ais batu” untuk orang ramai di sepanjang bulan Ramadan nanti yang dilakukan setiap tahun di pekarangan rumahnya di Kampung Jarak, Bintong, Kangar, Perlis.
Cik Muna yang pandai dan suka memasak ini beruntung kerana mempunyai pasukannya sendiri yang bersedia membantu di dapur.
“Sebab itu kita akan memilih homestay sebagai penginapan selain ahli rombongan lebih selesa selain kemudahan untuk kami memasak untuk semua,” katanya.
Biasanya pasukan memasak Cik Muna akan terus bertungkus lumus memasak sebaik tiba ke destinasi bagi menyediakan makanan untuk pagi dan juga malam.
“Ahli rombongan boleh berehat sementara kami memasak tetapi biasanya tugas mengemas sebaik selesai makan akan dilakukan pula oleh mereka,” katanya.
Cik Muna berkata, dia lebih suka mengamalkan “katering bergerak” supaya setiap ahli rombongan dapat memakan makanan yang bersih dan enak di sepanjang percutian.
Katanya, dia akan memastikan setiap ahli makan dengan
kenyang sebelum keluar untuk berkunjung ke destinasi yang ditetapkan.
Jadi tidak hairanlah, pada yang pertama kali menyertai rombongan Cik Muna mungkin mulanya rasa ralat apabila bas tidak singgah ke kedai makan tetapi akhirnya akan akur kerana makanan dari “katering bergerak” ini adalah terbaik.
Tambahan pula Cik Muna sentiasa berpesan “jangan buang duit membeli makanan” ketika singgah di mana-mana perhentian, itu ada benarnya.
Sebaik perjalanan bermula, makanan ringan diedarkan bagi mengelak penumpang berlapar.
“Kalau boleh saya mahu sediakan makanan setiap jam semasa perjalanan,” kata Cik Muna.
Beritahu seorang ahli rombongan,”Susah untuk kita temui penganjur rombongan yang mahu memasak seperti ini”.
Beliau tidak menyangka terdapat pebagai jenis makanan seperti nasi lemak, pulut mempelam, bihun goreng, mee goreng bagai hidangan buffet dari “katering bergerak” rombongan bas Cik Muna. – SM