Kanye West sudah ‘mati’
RAPPER popular Kanye West mengumumkan, namanya kini bukan lagi Kanye tetapi secara rasmi dan diluluskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di Los Angeles (LA), nama baharunya ialah ‘Ye’ dan mahu dipanggil serta dikenali dengan panggilan nama baharunya itu.
Tidak dinyatakan dengan pasti mengapakah Kanye menukar namanya menjadi ‘Ye’ tetapi itu adalah kemahuannya dan dibenarkan untuk digunapakai dalam urusan rasmi. khususnya dalam karier muziknya.
Untuk rekod, Kanye pernah berkahwin dengan selebriti Kim Kardashian pada tahun 2014 di Florance, Itali namun mereka akhirnya bercerai selepas dikurniakan empat orang anak iaitu North, Saint, Chicago dan Psalm.
Selepas bercerai, Kanye bercinta dengan model, Irina Shayk yang mana pasangan kekasih ini dikatakan banyak meluangkan masa ke majlis atau acara fesyen sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Kanye pernah memuat naik satu ciapan di laman sosial Twitter pada tahun 2018 lalu dan menyatakan hasratnya untuk dikenali sebagai ‘Ye’.
“The being formally known as Kanye West. I am YE”, tulisnya dalam satu ciapan.
Tahun ini, setelah selesai semua proses undang-undang yang berkaitan dalam penggantian nama, Kanye West secara rasminya menyandang nama ‘Ye’.
Sementara itu, BBC melaporkan, Hakim di Los Angeles bersetuju dengan permintaan atas pertukaran nama Kanye kepada ‘Ye’ di mana perkara ini telah disahkan oleh seorang pihak berkuasa di Mahkamah Tinggi Los Angeles.
Hasrat mengganti dan menukar nama ini telah ditunggu- tunggu oleh Kanye sejak tiga tahun yang lalu.
Sebelum itu, Kanye pernah membuat permohonan mengubah namanya kepada ‘Ye’ sejak Ogos tahun 2018 dengan mendakwa penukaran nama itu adalah atas alasan peribadi.
Sementara itu, penyanyi rap terkenal ini mula menggunakan ‘Ye’ sebagai nama panggilan malah turut menggunakannya sebagai tajuk albumnya yang ke-8.
Setelah album terbarunya dikeluarkan, dia menulis di akaun Twitternya bahawa secara rasminya sudah dipanggil ‘Ye’ dan Kanye West sudah tidak wujud lagi. – SM