Nasional

‘Kantoi’ jual sarung tangan getah terpakai

SUDAHLAH sarung tangan getah itu terpakai, kemudian dicuci semula sebelum dibungkus ke dalam kotak untuk dijual kembali kononnya sebagai barang baharu.

Kesemua sarung tangan terpakai yang telah dibersihkan itu dibungkus semula dengan menggunakan jenama Gloveon Paloma yang berdaftar dengan cap dagang.

Aktiviti itu akhirnya berjaya dikesan selepas syarikat terbabit menerusi perbandingan sarung tangan getah tiruan dengan yang asli dari segi kualiti, ketebalan, warna, pembungkusan dan cetakan pada kotak pembungkusan.

Perbezaan antara sarung tangan getah yang dicuci semula (kiri) dengan yang baharu. – Gambar ihsan KPDNHEP Putrajaya

Susulan itu, satu serbuan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya dan merampas sebanyak 840 kotak berisi sarung tangan getah tiruan pada Rabu lalu.

Barangan tiruan yang bernilai RM42,320 itu dirampas di sebuah premis perniagaan di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat yang diterima mengenai sarung tangan getah tiruan jenama Gloveon Paloma daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar Cisco (M) Sdn Bhd yang mewakili Hartalega NGC Sdn Bhd.

BACA> ‘JERUNG’ MBSA pula ditahan, direman 6 hari

“Hasil daripada pengesahan awal yang dijalankan oleh wakil pemilik cap dagang berdaftar mendapati kotak sarung tangan getah tersebut disyaki tiruan.

“Kes disiasat dibawah perenggan 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Iskandar Halim, pihaknya ingin mengingatkan para peniaga agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain dalam melaksanakan apa jua perniagaan.

Lokasi penyimpanan sarung getah tiruan sebelum dijual. – Gambar ihsan KPDNHEP Putrajaya

“Saya sekali lagi ingin memberi amaran kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang terutama yang membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan hukuman berat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Iskandar Halim turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat terus kepada KPDNHEP sekiranya terdapat aktiviti penjualan dan pengedaran barangan tiruan.

BACA> Whatsapp dulu baru dapat kod ejen nak jumpa pelacur

Orang ramai boleh menghubungi Enforcement Command Centre (ECC), KPDNHEP di talian 1-800-886800 atau 03- 8882 6088 untuk tujuan tersebut. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button