fbpx
NasionalRencah Hidup

Kanak-kanak perempuan maut disengat lebih 60 ekor tebuan

KANAK-KANAK perempuan berusia lapan tahun yang kritikal akibat terkena lebih 60 sengatan tebuan disahkan meninggal dunia awal pagi tadi.

Mangsa Nur Nazihah Mohd Sabri meninggal dunia pukul 1.30 pagi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata kematian mangsa disebabkan kegagalan organ dalaman akibat toksin yang banyak berpunca daripada sengatan terbuan.

“Mangsa yang dimasukkan ke HSNZ pada 9.17 malam semalam dari Hospital Dungun mempunyai 65 kesan sengatan tebuan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, ibu mangsa Rohayu Mat Lazim, 39, ketika dihubungi Bernama berkata, jenazah anak ketiga daripada lima beradik itu dibawa pulang ke Kerteh dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Kerteh 5, di Dungun pagi ini.


“Sedih sangat, tidak sangka hilang anak sekelip mata namun saya reda dengan ujian Allah ini. Seorang lagi anak masih dalam pemantauan doktor di HSN semoga dia cepat sembuh seperti biasa,” katanya sebak.

Semalam, Bernama melaporkan dua beradik, seorang daripadanya dalam keadaan kritikal, terpaksa dikejarkan ke HSNZ, selepas terkena sengatan tebuan dalam kejadian kira-kira 3 petang di kawasan berbukit berhampiran rumah mereka di Felda Kerteh 4, Dungun.

Ibu mangsa berkata Nur Nazihah dan adiknya, Muhamad Azib, 6, sedang bermain-main dengan beberapa kawan serta seorang lagi kakak mereka yang berusia 11 tahun.

Kejadian disedari apabila anak lelakinya itu meluru masuk ke rumah dalam kesakitan dan memberitahu kakaknya teruk disengat tebuan.

Rohayu menghantar kedua-dua anaknya ke Klinik Ketengah Jaya sebelum dirujuk ke Hospital Dungun untuk rawatan dan seterusnya ke HSNZ tidak lama selepas itu.BERNAMA 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button