Politik

Kalau nak buang nombor keahlian saya, buanglah – Syed Saddiq

BEKAS Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik saman sivil terhadap kes pemecatan keahliannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Parlimen Muar itu juga tidak kisah jika ada pihak dalam parti itu yang mahu membuang nombor keahliannya 000006 dari parti ITU.

Menurutnya, dia akan mencipta ruang sendiri untuk memajukan negara kerana apa yang lebih penting baginya adalah rakyat dan negara.

“Kalau nak ambil parti, ambillah. Kalau nak buang nombor keahlian saya, buanglah. Saya tidak akan melengah-lengahkan usaha tuan-tuan sekalian.

“Saya akan sentiasa mencipta ruang untuk membina negara. Bagi saya, rakyat dan negara itu paling utama.

“Banyak juga pendapat dikongsi tentang langkah terbaik untuk masa hadapan negara. Walau apa pun, jika ianya berpaksikan negara dan anak muda, saya tahu itulah langkah yang akan saya ambil dan pilih. What say you?” kata Syed Saddiq yang mendakwa sebagai Pengasas Armada.

Hari ini Armada mengumumkan kedudukan Syed Saddiq sebagai ketua sayap Bersatu akan diambil alih oleh Mohd Aizad Roslan yang merupakan Naib Ketua  Armada.

Keahlian Syed Saddiq dalam Bersatu bersama empat yang lain termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad digugurkan pada 28 Mei lalu

“Hari ini, Bersatu telah melantik ketua Armada yang baru selepas saya dipecat. Kalau tanya saya, saya merasa rendah diri. Pengalaman dan pengetahuan yang saya raih dalam Armada besar nilainya.

Hubungan yang kami bina dalam Armada juga tidak akan putus. Apabila khidmat saya di dalam Bersatu dan Armada tidak diperlukan lagi, sudah tibanya masa untuk saya pergi,” kata Syed Saddiq.

Bagi Syed Saddiq, Armada bukan sekadar sebuah instrumen politik tetapi ia juga telah dianggap sebagai keluarganya.

Menurut Syed Saddiq, walaupun ada perselisihan dalam Armada, beliau tidak pernah membawa pertengkaran keluar dari bilik mesyuarat kerana mahu menjaga dan melindungi Armada yang dibina secara bersama.

“Saya faham bahawa jalan yang saya ambil ini bukan senang. Jauh sekali ingin menjamin masa hadapan yang baik untuk diri. Mereka yang sama haluan juga akan terima nasib yang sama. Diugut kiri kanan, disingkirkan jawatan dan dibuang jauh-jauh.

“Paling penting, kita harus faham bahawa parti politik adalah kenderaan untuk membela rakyat dan menjaga negara. Ia bukan alat untuk kepentingan individu, jalan mudah meraih kemewahan dan jaminan masa depan. I’ll march forward,” kata Syed Saddiq.

Menurutnya, cerita beliau dalam Bersatu dan Armada adalah panjang. Dia akan mengingati sehingga bila-bila setiap satu perjuangan Armada sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Waktu itu, kami tidak punya apa-apa. Jelajah dari negeri ke negeri dan singgah program rumah ke rumah.

“Tidur bermalam pun dalam kereta. Percaya atau tidak, keluarga Armada hanya berbekalkan semangat untuk ubah negara dan harapan untuk masa hadapan yang lebih baik.

“Bagi saya, Armada ini bukan sekadar sebuah instrumen politik, tetapi ia adalah keluarga saya,” katanya.-SM

(Visited 243 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button