Politik

“Kalau benar saya pendendam sudah ramai yang terperosok ke Penjara Sungai Buloh” – Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa beliau menggunakan sistem perundangan negara untuk membalas dendam terhadap mana-mana individu.

Anwar berkata malah beliau sentiasa menghormati undang-undang negara termasuklah tidak mencampuri tugas-tugas serta keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara dan hakim terhadap sesuatu pendakwaan.

“Kalau benar saya dendam sudah ramai yang terperosok ke Penjara Sungai Buloh, tetapi saya tahu perlunya kita pertahan prinsip keluhuran undang-undang.

Siapa yang mahu disiasat, didakwa itu bukan kuasa saya, kuasa saya terhad kepada pengarahan terhadap institusi keselamatan menjalankan tugas mereka dengan tegas dan berani,” katanya ketika berucap selepas menyaksikan pementasan teater “Cikgu Anda” semalam.

Anwar berkata beliau tidak boleh mengarahkan Peguam Negara untuk mendakwa kerana sesuatu pendakwaan mesti mempunyai fakta yang kukuh.

Anwar juga berkata beliau tidak mahu menjadi seorang pemimpin yang menggunakan kuasa untuk menindas dan menzalimi mana-mana individu.

Perdana Menteri menegaskan selama tujuh bulan memimpin negara, beliau tidak pernah meminda perjawatan institusi kehakiman.

“Apa sahaja yang dikemukakan oleh jawatankuasa membawa kepada Ketua Hakim Negara dihantar kepada saya, saya ikut proses sahaja, tidak ada satupun yang saya pinda. Melainkan kalau hakim itu punyai rekod yang mungkin dipertikai,” katanya lapor Bernama

Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya tata kelola serta pentadbiran di negara ini dibersihkan tanpa wujud unsur negatif malah politik negara perlu terhindar daripada adu domba atau merendahkan martabat pihak lain.

“Politik itu penting, saya juga mengasaskan dan memimpin parti politik dan antara parti yang bergabung,” katanya dan menambah mencari kelemahan pihak lain merupakan politik tidak matang.

Sementara itu dalam hantaran ke Facebook peribadi Anwar berkata, pementasan teater ‘Cikgu Anda‘ anjuran Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) dengan kerjasama Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR).

Teater itu diadaptasikan ke pentas untuk mengangkat nama Yayasan Anda Akademik (YAA) iaitu institusi pendidikan swasta yang saya asaskan bersama rakan-rakan siswazah universiti tempatan pada 1971.

“Penghargaan saya buat pasukan penerbitan kerana dapat mengangkat naskhah berhubung sejarah penubuhan YAA untuk dipertonton kepada umum.

“Saya menggunakan ruangan ini untuk mengajak seluruh masyarakat supaya memberi tumpuan untuk meningkatkan mutu pendidikan dengan mengutamakan kekuatan nilai dan akhlak yang baik.

Dengan berpandukan nilai serta akhlak, negara dapat melahirkan insan yang berilmu dan akademis kerana mengamalkan prinsip agama,” katanya.

(Visited 228 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button