Hiburan

Filem Anwar: The Untold Story gagal menusuk kalbu

KELMARIN berlangsungnya tayangan perdana filem terbitan Bianglala Entertainment, Anwar: The Untold Story arahan sutradara dari Indonesia, Viva Westi.

Filem Anwar The Untold Story yang menjalani 80 peratus penggambaran di Indonesia membariskan pelakon popular tempatan dan seberang mengisahkan perkara yang berlaku terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar 1993 sehingga 1998.

Filem Anwar The Untold Story
Filem Anwar The Untold Story

Anwar hadir pada majlis tontonan perdana dengan ditemani isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai tanda sokongan terhadap filem yang menelan kos penggambaran RM10 juta dan bakal ditayangkan di pawagam pada 18 Mei ini.

Bagi mereka yang meminati jalan cerita biopik, kisah seorang figura politik yang pernah hangat kesnya diperkatakan pada satu masa dahulu di Malaysia, sudah pasti ternanti-nanti untuk menonton filem ini.

Farid Kamil membawakan watak ANWAR
Farid Kamil membawakan watak ANWAR

Filem berdurasi 90 minit ini dibintangi Farid Kamil yang mendukung watak utama sebagai Anwar Ibrahim, Acha Septriasa sebagai Wan Azizah dan Hasnul Rahmat sebagai Tun Dr Mahathir Mohamad.

Barisan pelakon dan production bersama Perdana Menteri ke-10

Anwar: The Untold Story bertitik tolak pada tahun 1993 sehingga 1998. Ia mengambil kisah Anwar Ibrahim yang pada tahun tersebut sebagai Timbalan Menteri Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang mana perjuangan utama atau prioritasnya ialah mencegah rasuah sehinggalah kepada detik beliau dipenjara.

Pengarah Viva Westi
Pengarah Viva Westi

Filem Anwar: The Untold Story diangkat dari kisah benar yang terjadi ke atas diri Anwar Ibrahim dan terpalit sama kepada isteri dan keluarga beliau pada ketika itu.

Mengulas sedikit tentang watak dan perwatakan barisan pelakon yang terbabit dalam filem Anwar: The Untold Story penulis suka dan puji persembahan lakonan aktor Hasnul Rahmat.

Dengan wajah dan intonansi bersahaja, jiwa beliau sebagai Tun Dr Mahathir berjaya dipaparkan di layer perak.

Sedap mendengar pengucapan dialog Hasnul yang persis percakapan Tun Dr Mahathir!

Walaupun Hasnul memegang watak pendukung dalam filem tersebut, ia amat tidak mengecewakan.

Bagaimanapun, sukar untuk memberi pujian kepada aktres dari Indonesia yang menjadi heroin dalam filem Anwar: The Untold Story, Acha walaupun ada cubaan yang dilakukan oleh beliau untuk menguasai dialog dan dialek Melayu.

Sedikit bocor apabila mendengar lontaran dialog Acha sebagai Azizah dan ada beberapa babak yang memperlihatkan aktres dari seberang itu terlepas cakap dalam bahasa ibundanya.

Lebih mengecewakan apabila watak Nurul Izzah Ibrahim lakonan Saskia Chadwick, juga pelakon dari Indonesia yang membuatkan penonton keliru kerana dialog Melayunya tidak Melayu tetapi lebih banyak bunyi Indonesia.

Selain itu penonton mengharapkan watak Izzah ini dapat dikembangkan lagi kerana kita semua sedia maklum Nurul Izzah merupakan Puteri Reformasi yang cukup lantang dan lebih berani bersuara membela ayahnya.

Seperti para pelakon tidak cukup masa untuk ‘study’ dalam mengimplimentasi watak masing-masing, pengucapan dialog mereka seolah-olah “melepaskan batuk di tangga”!

Ada komen dari para penonton bahawa filem ini tidak terlalu dekat pada hati rakyat Malaysia kerana ada banyak tragedi yang DITIADAKAN dalam filem ini.

Mungkin atas dasar sensitiviti maka pengarahnya memilih untuk JALAN SELAMAT supaya filem ini walaupun banyak disunting, dipotong, dibuang, diedit tetapi sekurang-kuranngya ia lepas untuk tayangan di pawagam di seluruh negara.

Semasa tayang perdana Anwar: The Untold Story sedang berlangsung dan tidak sampai lagi ke penghujung, kelihatan penonton sudah mula memegang telefon bimbit masing-masing kerana mood bosan melanda.

“Bila nak habis ni?” mungkin itu bermain dalam fikiran mereka!

Ini sangat jarang berlaku dalam kalangan kaki wayang, apatah lagi hadir pada tayangan perdana yang disulami dengan acara karpet merah!

Pengakhiran filem ini tidak digarap secara kemas oleh Tuan Pengarah kerana sejurus credit roll dipapar di layar perak, tiada terkesan di jiwa seperti mana yang diharapkan usai menonton filem Anwar: The Untold Story.

Seperti mana yang kita tahu industri perfileman Indonesia hebat dengan sinematografinya. Mungkinkah filem Anwar: The Untold Story ini hanya boleh menang pada visual sahaja dalam Festival Filem Malaysia atau festival filem di Indonesia?

Jika kita tonton filem Habibie dan Ainun yang mengisahkan tentang seorang ahli politik di Indonesia dan membangunkan kapal terbang, plotnya lebih detail atau terperinci dengan kemasan jalan cerita yang tidak membosankan.

Bahkan dari plot kepada sub plot, lebih cantik digarapkan dalam dua filem tersebut kerana pengembangan sub plotnya kemas dan teratur, tiada unsur dipaksa-paksa.

Walau pun filem Habibie dan Ainun bersandarkan kisah cinta tetapi kisah cinta itu disulam cantik dengan peranan Ainun yang menyokong perjuangan suaminya sehingga ke akhir hayat.

Elemen romantis dan tragis di layar perak menerusi filem Habibie dan Ainun, bukan romantis Anwar Ibrahim mengucup kepala Wan Azizah ketika di dalam panggung menonton filem Anwar: The Untold Story. – SM

Artikle Berkaitan ;>

Anwar dan Wan Azizah tersentuh selepas menonton kisah perjuangan mereka

 

 

(Visited 4,622 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button