SEORANG jurujual maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler sebelum motosikal tersebut terbakar.
Nahas berlaku di Kilometer 29 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi berhampiran simpang tiga Bukit Perpat petang semalam.
Kemalangan maut itu berlaku pada kira-kira pukul 6 petang menyebabkan mangsa, Arman Che Aziz, 27, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketika kejadian, treler yang membawa muatan simen dalam perjalanan dari arah Ajil menghala ke Bukit Perpat, Hulu Terengganu.
Manakala mangsa yang beralamat di Chendering, Kuala Terengganu, menunggang motosikalnya dari arah Wakaf Tapai menghala ke Ajil.
Insiden itu dikatakan berlaku ketika treler yang dipandu lelaki berusia 33 tahun di sebelah kanan jalan sedang membelok ke kanan simpang tiga Bukit Perpat.
Secara tiba-tiba kenderaan berat itu dirempuh motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.
Rempuhan tersebut menyebabkan mangsa terjatuh dan tercampak di atas jalan raya manakala motosikal dinaikinya terbakar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud ketika dihubungi, mengesahkan kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SUMBER ASTRO AWANI