Nasional

Jumlah tuntutan pampasan HSR adalah rahsia

JUMLAH pampasan akibat pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura yang perlu dibayar adalah rahsia.

Pampasan yang perlu dibayar melibatkan kedua-dua negara itu dikatakan terikat dengan klausa kerahsiaan di bawah perjanjian antara Malaysia dan SIngapura.

Justeru, Kerajaan Malaysia tidak akan mendedahkan jumlah papasan yang perlu dibayar kepada Singapura walaupun terdapat pelbagai spekulasi mengenai jumlah tuntutan itu.

“Bagaimanapun saya dan pasukan akan berbincang dengan pihak Singapura untuk mendapat persetujuan bagi berkongsi maklumat mengenai jumlah pampasan tersebut setelah ia dimuktamadkan.

“Justeru itu, sebarang angka mengenai pampasan yang disebutkan oleh mana-mana pihak merupakan spekulasi semata-mata.”

Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menerusi hantaran dalam Facebooknya yang menjelaskan Perjanjian Dua Hala Malaysia – Singapura terikat dengan klausa kerahsiaan.

Beliau dalam kenyataan sama turut memaklumkan kerajana akan meneliti semula bagi menggantikan projek tersebut tanpa melibatkan negara republik berkenaan.

“Adakah projek keretapi laju KL-Singapura akan digantikan dengan projek keretapi laju KL-JB (Kuala Lumpur – Johor Bahru)?

“Kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci bagi menentukan hala tuju seterusnya. Pada masa ini, apa-apa spekulasi mengenai projek keretapi laju KL-JB hanyalah spekulasi,” jelasnya.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, memberi gambaran pampasan yang bakal dituntut Kerajaan Singapura akibat pembatakan projek berkenaan.

Katanya, Singapura sudahpun membelanjakan lebih 250 juta Dolar Singapura (SGD) (RM725 juta) bagi melaksanakannya.

Susulan itu, beliau menjangkakan negara jiran itu akan menuntut pampasan sehingga RM1 bilion kepada kerajaan. – SM

(Visited 189 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button