Politik

Komunis: Cawangan khas perlu ikut peredaran zaman, kata Kit Siang

PENASIHAT DAP Lim Kit Siang menggesa Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bergerak mengikut peredaran zaman.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam blognya berkata, Cawangan Khas tidak boleh dengan mudah untuk mengesyaki mana-mana orang sebagai Komunis.

“Cawangan Khas PDRM dalam tahun-tahun awalnya tidak akan bertindak balas seperti yang dilakukannya terhadap iklan makanan sehinggakan menuduhnya sebagai propaganda Komunis China.

“Cawangan Khas tidak boleh sewenang-wenangnya mengesyaki mana-mana orang sebagai Komunis dan perlu bergerak dengan peredaran zaman.

“Malaysia dan China telah pun mengadakan hubungan diplomatik selama 46 tahun sejak daripada tahun 1974 dan kedua-dua negara perlu terus mengekalkan hubungan ekonomi yang kukuh dan rapat,” kata Kit Siang.


Media sebelum ini melaporkanPolis sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik sebuah restoran yang menghias dua premisnya masing-masing di Auto City dan Pulau Tikus di Pulau Pinang dengan kertas dinding memaparkan elemen komunisme dan gambar bekas Presiden Parti Komunis China Moa Tze Tong.

Kes disiasat di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana menerbitkan propaganda sebuah pertubuhan haram.

Selain itu, kes terbabit juga disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menerbit atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Tular di media sosial gambar hiasan dalam sebuah restoran yang memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis dalam media sosial sehingga menimbulkan pertikaian warganet.

Ramai pihak mendesak tindakan tegas diambil terhadap pemilik restoran terbabit dan ada juga mahu kewarganegaraan individu terbabit ditarik.

Kertas dinding di restoran terbabit kemudiannya sudah pun ditanggalkan oleh polis.-SM

(Visited 6,379 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button