Nasional

Jumaat diumum sebagai Hari Jawi – Zulkifli

Kepala surat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) guna tulisan Jawi

SUDAH lama masanya usaha untuk memartabatkan tulisan atau pembacaan Jawi diterap dalam kalangan masyarakat negara ini.

Suatu ketika dahulu, Kumpulan Utusan Melayu pernah menerbitkan akhbar Utusan Jawi tetapi tempoh hayatnya ditamatkan dengan pelbagai alasan.

Hari ni, cuba tanya dalam kalangan diri kita, berapa keratkah bilangan masyarakat kita yang boleh membaca dan menulis dengan lancar dan baik dalam tulisan Jawi?

Mungkin terasa malu untuk mengakui, kemampuan membaca Jawi hanya ketika belajar di sekolah rendah tahun 1973 dahulu.

Tanpa diduga, bermula hari ini, hari Jumaat diumumkan sebagai ‘Hari Jawi’ yang dikatakan dalam usaha untuk mengekal dan memperkasa sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Melalui satu kenyataannya, usul itu telah dibawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lepas dan mendapat sokongan penuh daripada semua ahli jemaah menteri.

Katanya dalam kenyataan itu, Kerajaan serius memartabatkan tulisan Jawi.

“Saya menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara ini,” katanya.

Apa yang diperkatakan oleh Menteri Agama itu mungkin harapan peribadi beliau yang menggunung tinggi dan  apa yang dinyatakannya itu dapat direalisasikan dan bukan sekadar fantasia separuh jalan.

Beliau berkata dalam kenyataan tersebut, bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi, kepala surat rasmi atau letter head Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggunakan tulisan Jawi bagi urusan rasmi mulai hari ini.

Zulkifli berkata, penggunaan tulisan Jawi juga akan turut diperluas meliputi penyampaian maklumat menerusi platform media sosial rasmi agensi di bawahnya.

Tulisan Jawi diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, tegas Zulkifli.

Akta itu menyatakan tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi, dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan. – SM

(Visited 418 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button