Jenayah

4 termasuk pengendali, wartawan AlJazeera dipanggil ke Bukit Aman hari ini

Mereka hadir bersama 7 peguam, elak ditemu bual media tempatan

TIMBALAN Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan, empat individu termasuk petugas AlJazeera dipanggil ke Bukit Aman Hari ini.

Mereka yang bertugas dengan agensi berita antarabangsa itu dipanggil untuk memberi keterangan berhubung sebuah dokumentari yang diterbitkan Al Jazeera yang memberi implikasi dan gambaran negatif tentang cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin (PTI) sewaktu penularan wabak Covid-19.

Mior Faridalathrash turut mengesahkan kepada BERNAMA,antara yang dipanggil bagi membantu siasatan ialah pengendali dan wartawan AlJazeera yang bertanggung jawab menghasilkan dokumentari berkenaan.

Menurut Mior Faridalathrash , kesemua mereka yang dipanggil tiba di Bukit Aman bersama tujuh peguam pada kira-kira 8.50 pagi tadi.

Mereka turut cuba mengelak daripada ditemu bual oleh para pemberita di lokasi, Bukit Aman, untuk mendapatkan kenyataan daripada pihak mereka pula.

Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Pada Rabu lepas, lima laporan polis telah dibuat oleh beberapa pihak termasuk Jabatan Imigresen Malaysia berhubung dokumentari yang disiarkan oleh agensi berita itu dan polis mengenal pasti beberapa individu untuk dipanggil bagi membantu siasatan kes.

AlJazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap PTI ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19. – SM

(Visited 235 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button