fbpx
Jenayah

JPJ P. Pinang kesan syarikat e-hailing haram, sita 11 kereta

SEBUAH syarikat pengendali e-hailing haram dikesan beroperasi di Pulau Pinang oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dan menyita 11 kenderaan dalam satu operasi khas yang dijalankan sejak semalam dan hari ini.

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, pihaknya menerima aduan daripada persatuan pemandu e-hailing berdaftar terhadap kenderaan yang beroperasi sebagai e-hailing yang menggunakan aplikasi tetapi tidak berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Berikutan itu, JPJ telah menjalankan risikan dan operasi khas sejak semalam dan memberi tumpuan di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang sebelum berjaya menahan 11 kenderaan yang beroperasi sebagai e-hailing dengan syarikat antarabangsa tersebut.

“Berdasarkan siasatan, syarikat itu beroperasi di lebih 30 negara sebagai (syarikat) pengendali e-hailing namun dipercayai masuk ke negara ini terutama di Pulau Pinang sejak awal tahun tetapi sehingga hari ini, syarikat itu masih belum berdaftar dengan APAD selain tidak mempunyai Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP).
“Kita sedang mengesan syarikat pengendali e-hailing berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut Adenan, hasil siasatan juga mendapati, lebih 200 pemandu telah berdaftar dengan syarikat itu untuk menjadi pemandu e-hailing di Pulau Pinang.


Dan caranya mereka boleh membuat permohonan menerusi laman Facebook syarikat dengan mengemukakan lesen memandu, gambar pemandu, geran serta cukai jalan kenderaan untuk diproses.

Beliau menambah, hasil siasatan turut mendapati syarikat terbabit membenarkan pemandu mendaftar dan mengambil penumpang walaupun tidak mempunyai lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

Dan ia jelas tidak mengikut peraturan ditetapkan oleh Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, kata Adenan.

Selain itu, Adenan memberitahu, syarikat tersebut juga sedang mengadakan promosi untuk menarik pemandu e-hailing dengan tidak mengenakan sebarang bayaran menggunakan aplikasi syarikat malah mereka mendapat sepenuhnya bayaran daripada penumpang.

“Berdasarkan operasi, kami juga mendapati penumpang boleh tawar-menawar harga yang dikenakan menerusi aplikasi e-hailing tersebut, malah ia lebih murah berbanding harga dikenakan oleh syarikat pengendali e-hailing yang lain.

“Ada di antara 11 pemandu berusia 20 hingga 50 tahun itu merupakan pemandu e-hailing bagi syarikat (e-hailing) lain.

“Mereka turut menjadi pemandu syarikat tersebut kerana lebih mudah mendapat penumpang serta mendapat bayaran penuh (daripada penumpang),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memberi amaran kepada semua pemandu e-hailing serta penumpang untuk tidak menggunakan aplikasi itu kerana operasinya dilakukan secara haram dan jika berlaku kemalangan semasa perjalanan, mereka termasuk penumpang tidak dilindungi insurans. – BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button