JKPK kekal tolak PLKN 3.0, akan kaji mendalam
JAWATANKUASA Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia menegaskan pendiriannya agar Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 tidak diteruskan.
Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata meskipun pihaknya sudah diberi penerangan mengenai konsep dan format baharu program itu, ia tetap gagal memenuhi justifikasi yang telah dinyatakan sebelum ini.
“Selepas taklimat bersama Kementerian Pertahanan serta Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), kami telah menyatakan justifikasi jelas mengapa program ini tidak wajar diteruskan.
“Namun, jika kerajaan berhasrat untuk melaksanakannya juga, perlu ada kajian lebih teliti dan mendalam agar isu sama tidak berulang. JKPK bersedia menjemput Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, untuk hadir ke mesyuarat kami dan membentangkan hasil kajian mereka mengenai program ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambah beliau, JKPK sebelum ini juga telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan berhubung isu berkenaan.
Jumaat lalu, BH melaporkan bahawa kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PLKN 3.0 selepas menjalankan kajian terperinci dengan konsep dan format baharu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kajian akademik yang dilakukan secara kuantitatif dan kualitatif menunjukkan impak positif, termasuk dari segi pembabitan belia, kepuasan peserta, dan tahap patriotisme.