Acara

Anwar yakin negara-negara Islam mampu bentuk pakatan baharu yang lebih utuh

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin negara-negara Islam mampu mencapai kata sepakat dan membentuk kerjasama yang lebih utuh.

Perkata itu dibangitkan beliau ketika menghadiri ‘Persidangan Rusia dan Dunia Islam: Dialog Rusia-Dunia Islam Di Era Multipolar’.

“Saya sentuh mengenai kenyataan yang dibuat Presiden Persekutuan Rusia Vladimir Putin kepada kita yang diikuti rapat Rais Tatarstan bahawa situasi dunia yang kita hadapi sekarang ini adalah yang paling mencabar. Namun, kita yakin melalui kerjasama yang ampuh dan strategik antara negara-negara, khususnya negara-negara Islam serta negara-negara sahabat yang lain betapa kita punyai kekuatan bagi membentuk persefahaman dan pakatan baru yang lebih utuh.

“Atas premis yang sama, maka Malaysia memilih untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar inisiatif BRICS. Melalui penyertaan ini, Malaysia berharap untuk memperkukuh suaranya serta melonjak peranan negara-negara membangun dalam memungkinkan sebuah tatanan dunia (world order) yang lebih adil dan seimbang.

“Sebagai tuan rumah kepada persidangan ini, saya ucap penghargaan yang setingginya kepada Rais Tatarstan. Persidangan seperti ini amat penting kerana ia membuka peluang kepada kerjasama strategik antara negara-negara peserta. Malaysia percaya bahawa hanya melalui kerjasama yang erat kita dapat mempertahankan hak dan suara kita secara bebas dalam persekitaran dunia yang melaju ke arah persekitaran yang pelbagai kutub (multipolarity),” katanya.

Namun, kita masih dirundung dengan pelbagai isu dan konflik, dan persidangan seperti ini lantas menjadi terpenting sebagai medan dialog dan wacana yang ampuh di era yang diselaputi pelbagai tragedi besar yang menimpa umat manusia secara keseluruhan dari Gaza hingga ke sebahagian benua Eropah.

Sebagai negara yang menjunjung kedaulatan dan kebebasan dalam dasar luarnya, Malaysia akan terus berusaha untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam mendukung keamanan, keadilan, dan pembangunan global.

Sementara itu Bernama melaporkan, Anwar menggesa supaya diwujudkan satu usaha global bersepadu bagi menghayati nilai ihsan, keadilan dan kemanusiaan untuk membanteras peningkatan sikap tidak bertoleransi, perkauman dan Islamofobia.

Perdana menteri berkata isu-isu tersebut telah menjadi cabaran berterusan yang dihadapi oleh dunia Islam dan umat manusia secara umumnya, termasuk tragedi yang sedang melanda di Gaza dan kebangkitan fasisme serta perkauman di pelbagai wilayah.

Beliau menegaskan bahawa prinsip As-Samud, Rahmah dan Ihsan atau nilai toleransi, belas kasihan dan kemanusiaan mesti membimbing dunia Islam dalam menangani cabaran global.

“Kita fikirkan bahawa dengan pembangunan, kemajuan dan pengetahuan, akan wujud lebih banyak kebijaksanaan dan toleransi, namun hakikatnya ini tidak berlaku.

“Ini adalah tempoh tragedi besar sedang menimpa umat manusia pada umumnya, dan kebanyakan membabitkan umat Islam, khususnya dari Gaza, dari Eropah di masa lampau, peningkatan kebangkitan fasisme, perkauman, sikap tidak bertoleransi, tindakan yang tidak berperikemanusiaan, kekejaman yang dilakukan kepada manusia, bukan hanya di Palestin dan Gaza khususnya, tetapi juga di banyak negara,” katanya.

Anwar berkata platform seperti mesyuarat Russia-Islamic World ini harus digunakan untuk mempromosi nilai-nilai ini kepada masyarakat antarabangsa kerana ia bukan sahaja relevan untuk dunia Islam, tetapi juga kritikal untuk masyarakat global.

“Kita mesti bekerjasama untuk menentang kebencian dan sikap tidak bertoleransi, memupuk dunia, dan manusia berkembang maju melalui persefahaman dan saling menghormati,” katanya.

Mesyuarat yang berlangsung di sini hari ini dan esok dihadiri lebih 200 wakil dari 32 negara, berfungsi sebagai platform untuk meneroka peluang kerjasama global sambil menangani isu-isu mendesak yang dihadapi oleh masyarakat Islam dan sejagat.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Wawasan Strategik “Rusia-Dunia Islam” dan Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov; Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

Hadir sama Timbalan Menteri Luar Rusia Andrey Rudenko, Ketua Pengarah Hal Ehwal Politik di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Mohamed Salah Tekaya dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Osman Bakar.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button