Agama

Jihad bukan sesuatu dikaitkan dengan terorisme – Pemangku Raja Perlis

Presiden Persatuan Muhammadiyah Singapura, Ustaz Muhammad Azri Azman hadir mengiringi Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke ‘Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-15 bagi tahun 2024’ yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Batu 5, Jalan Kuala Perlis.

Menyambut keberangkatan tiba Tuanku Pemangku Raja ialah Mufti Perlis, Sahibus Samahah Prof. Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor serta Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle yang juga merangkap Pengerusi Ahli Jawatankuasa Masjid tersebut.

Ustaz Muhammad Azri berada di Perlis bagi menghadiri Seminar Antarabangsa Peradaban Ummah ‘Islam Jati Diri Melayu Tahun 2024 yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Turut hadir ialah Profesor Dr Khairudin Aljunied dari Jabatan Pengajian Melayu, National University of Singapore (NUS) yang yang juga merupakan salah seorang pembentang kertas kerja di seminar berkenaan.

Sempena program tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyempurnakan penyerahan bantuan zakat MAIPs kepada para asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah Kampung Bangsal Lebah seramai 20 orang. Masing-masing menerima RM700.

Baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan kepada para petugas keceriaan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis.

Selepas majlis tersebut Tuanku Pemangku Raja menitahkan bahawa ‘Jihad bukanlah sesuatu yang merujuk kepada keganasan atau terorisme sepertimana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, dan cuba menyebarkan Islamophobia. Pemahaman jihad dalam bentuk keganasan yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang terpencil, tidak mewakili maksud jihad sebenar yang difahami oleh majoriti umat Islam. Dalam Islam kita sesungguhnya disuruh untuk hidup secara harmoni dan aman damai sesama manusia tidak kira Muslim mahupun bukan Muslim. Islam sentiasa memerintahkan kita menyantuni semua manusia tanpa mengira agama.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button