Bola SepakSukan

JDT, Selangor turut beri penghormatan kepada Maradona

BERITA kematian legenda bola sepak, Diego Armando Maradona bukan sahaja mengejutkan peminat di negara kelahirannya Argentina, malah di seluruh dunia menangisi pemergian mendiang termasuklah pengikut setia sukan tersebut di Malaysia.

Dikenang sebagai antara pemain paling berbakat, sumbangan Maradona kepada bola sepak dunia akan dikenang peminat sampai bila-bila.

Sebagai menghormati pemergian legenda itu, kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) turut memanfaatkan kesempatan yang ada dengan memberi penghormatan kepada legenda bola sepak dunia tersebut.

Pasukan Harimau Selatan itu telah mengambil inisiatif dengan menyalakan lampu di Stadium Sultan Ibrahim menerusi warna melambangkan Argentina.

Melalui laman Facebook milik kelab itu, JDT berkongsi gambar stadium yang diterangi dengan warna trademark skuad kebangsaan Argentina sebagai penghormatan kepada Maradona.

Selain JDT, skuad Red Giants turut berkongsi kisah pasukan itu bersama legenda tersebut di dalam Facebook Selangor FC.

Selangor FC dalam kenyataan di media sosial itu menyatakan pada tanggal 12 Januari 1982, Selangor yang diketuai oleh Allahyarham Mokhtar Dahari, beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Boca Juniors FC yang dibintangi oleh Diego Armando Maradona di Stadium Merdeka.

“Selain penglibatan Supermokh, pasukan Selangor turut diwakili oleh legenda seperti Fandi Ahmad, Reduan Abdullah dan Santokh Singh pada ketika itu.

“Terima kasih Maradona kerana menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak kami,” jelas kenyataan tersebut.

Maradona yang diiktiraf di seluruh dunia sebagai salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman, meninggal dunia kerana serangan jantung pada usia 60 tahun, semalam.

Penyerang Argentina itu, yang cukup terkenal dengan gelaran jaringan ‘hand of god’ sewaktu menentang England, meninggal dunia di kediamannya yang terletak di pinggir Buenos Aires.

Kematiannya itu setelah dua minggu menjalani pembedahan berikutan pendarahan otak.

Maradona, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-60, bulan lalu, telah lama menderita dengan masalah kesihatan yang memaksanya keluar masuk hospital sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Presiden Argentina, Alberto Fernandez mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari sebagai penghormatan kepada bintang bola sepak mereka itu, yang merupakan ikon budaya dan wira kebangsaan.

UEFA turut mengumumkan sebagai menghormati pemergian Maradona, sebelum perlawanan Liga Juara-Juara, semalam para pemain akan bertafakur selama seminit. – SM

(Visited 336 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button