Bola SepakSukan

Rufino ucap selamat tinggal kepada Red Giants

PENYERANG prolifik Selangor, Rufino Segovia akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada Red Giants setelah menghabiskan selama empat musim bersama pasukan itu.

Pemain kelahiran Sepanyol itu memulakan kariernya bersama pasukan Merah Kuning sejak 2017 setelah melengkapkan perpindahan dari kelab Hong Kong, Kitchee FC dan menjadi antara tonggak penting di jentera serangan sejak itu.

Melakukan 65 penampilan dan meledakkan 46 gol sepanjang khidmatnya bersama skuad Selangor, Rufino merupakan penyerang yang digeruni dalam Liga Malaysia (Liga M).

Pada 2018, Rufino menjaringkan 31 gol dalam saingan Liga Super dan sekali gus, muncul selaku penjaring terbanyak Liga M serta meraih Anugerah Kasut Emas pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK).

“Dalam hidup ini, kadang-kadang kita berada di atas dan kadang kala di bawah.


“2018 merupakan tahun terbaik saya di Selangor dan saya akan ingat kenangan terbaik musim itu bersama peminat dan pasukan selamanya,” kata pemain yang mendapat gelaran ‘Machine Gun’ menerusi laman web pasukan.

Bagaimanapun, malang menimpa skuad Red Giants pada tahun lalu, apabila kecederaan tendon achilles yang diperoleh Rufino sewaktu perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur memaksa dia diketepikan sehingga tamat musim tersebut.

Setelah menjalani rawatan dan berehat panjang, Rufino kembali ke pangkuan pasukan, musim ini dan beraksi dalam kesemua perlawanan Liga Super serta Piala Malaysia 2020.

Dia turut meledakkan dua gol sewaktu bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PDRM serta menyempurnakan dua bantuan untuk jaringan Brendan Gan ketika menentang Pahang dan gol Ifedayo Olusegun dalam aksi dengan Felda United.

Rufino melahirkan rasa syukurnya dengan kesempatan yang diberikan oleh pihak pengurusan FAS dan berterima kasih kepada badan induk bola sepak negeri itu serta penyokong Selangor.

“Saya bersyukur dan bangga dengan pihak pengurusan FAS kerana mereka sentiasa memberikan yang terbaik untuk saya selama empat musim di sini.

“Semasa saya datang ke Selangor, saya mendapat maklumat bahawa penyokong Selangor merupakan antara penyokong terbaik di Malaysia.

“Dalam tempoh seminggu, mereka telah membuktikannya. Saya sangat berbangga dapat berkongsi kesemua kenangan yang baik bersama mereka. Keluarga saya sangat gembira melihat penyokong Selangor sentiasa meraikan saya.

“Saya mendoakan kejayaan untuk Selangor di masa akan datang dan akan mengingati anda semua selamanya. Terima kasih Selangor!” ujarnya. – SM

(Visited 70 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button