EkonomiNasional

Jãriah al-Barakah Bank Rakyat bantu biaya yuran pelajar kematian ibu bapa akibat Covid-19

Jãriah al-Barakah Bank Rakyat mengambil inisiatif membiayai yuran pengajian 25 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang kehilangan ibu bapa dan penjaga akibat jangkitan COVID-19 dengan kos keseluruhan berjumlah hampir RM86,000.

Usaha ini yang mana seiring dengan semangat serta konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diterapkan oleh Kerajaan, melambangkan keprihatinan Bank Rakyat khususnya dalam memberi galakan dan sokongan kepada mahasiswa untuk meneruskan pembelajaran mereka walaupun kehilangan tempat bergantung demi masa depan yang lebih terjamin.

Di samping itu, inisiatif ini juga adalah salah satu usaha Bank Rakyat dalam menyokong aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam pelaksanaan program bantuan yang menumpukan kumpulan sasar terjejas pandemik COVID-19, termasuk golongan mahasiswa.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ketua Pematuhan Syariah Bank Rakyat, Ustaz Mohd Zamerey Abdul Razak, kepada Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, pada majlis ringkas yang diadakan pada hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Mohd Zamerey turut menyerahkan sumbangan asnaf sebanyak RM30,000 bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar asnaf di Universiti tersebut.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengarah Pusat Wakaf Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS), Profesor Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif, Ketua Pembangunan dan Kesedaran Syariah Bank Rakyat, Ustaz Mohd Hanafiah Mohd Nawawi serta Ketua Waqf, Umrah dan Qurban Bank Rakyat, Ustaz Wan Mohd Nahar Othman.

Jãriah al-Barakah yang diperkenalkan pada tahun lalu merupakan inisiatif Bank Rakyat dan Surau Al-Barakah Bank Rakyat untuk menyediakan platform bagi warga kerja Bank dan orang ramai menyumbang seterusnya membantu mereka yang kurang berkemampuan terutamanya golongan B40.

Seterusnya, hasil kutipan yang diperoleh akan dilaburkan dan kemudiannya keuntungan pelaburan tersebut disalurkan untuk pembangunan sektor pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi masyarakat.

Mereka yang berhasrat untuk menyumbang boleh berbuat demikian dengan menggunakan medium perbankan dalam talian menerusi akaun Surau Al-Barakah, 11-0146-412-2 (Bank Rakyat) atau perkhidmatan JomPay (Biller Code: 26492). – SM

(Visited 437 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button