Nasional

Jangan percaya dakyah pecah-belahkan pemimpin UMNO

Ahli UMNO disaran agar tidak mudah terpedaya dengan dakwaan bahawa hubungan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semakin tegang.

Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Mohd. Fuad Tukirin berkata, ahli parti khususnya di peringkat akar umbi parti tidak mudah terpedaya dengan dakyah tersebut yang sengaja diada-adakan semata-mata hendak memecah belahkan keutuhan dua pemimpin tersebut.

Menurutnya, ada pihak sengaja mengada-adakan cerita mendakwa Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO perlu dikenakan tindakan disiplin sekiranya gagal meminda perlembagaan untuk menangguhkan pemilihan parti.

“Sekarang mereka ini pula mendesak Perdana Menteri mengunakan kuasanya mendesak Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) segera meluluskan permohonan UMNO bagi meminda perlembagaan.

“Adakah mereka ini ingat Perdana Menteri boleh mengunakan kuasa sesuka hati?

“Kenyataan sebegini seolah-olah memberi gambaran UMNO adalah parti “above the law” iaitu mengatasi undang-undang negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Bengkel Pembangunan Daerah Belanjawan Johor 2023 di Hotel Traders, Muar, Johor baru-baru ini.

Program tersebut dikendalikan Pegawai Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor dalam usaha penerapan kefahaman dalam merencana setiap perancang serta merangka strategi dalam merealisasikan agenda pembangunan dan belanjawan daerah setempat.

Mengulas lanjut Mohd. Fuad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning berkata, tidak sewajarnya imej UMNO di mata rakyat tercalar sekiranya perihal sebegini berlaku.

Menyentuh soal surat perjanjian antara Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, beliau berkata, hal tersebut hanyalah untuk memperolehi jumlah majoriti yang cukup di Parlimen tanpa melibatkan parti-parti politik lain.

Justeru, beliau mahu ahli UMNO khususnya di akar umbi perlu bijak menilai supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang cuba memecah-belahkan parti.

Sebaliknya kata beliau, mereka perlu bersatu hati serta memberikan sokongan penuh kepada Perdana Menteri dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

“Apa yang lebih penting, ahli UMNO perlu bersedia dalam menghadapi segala kemungkinan dan perlu rapatkan ukhwah terutama pemimpin di atas untuk terus menyokong kepimpinan parti yang diterajui Ahmad Zahid,” ujarnya. – SM

(Visited 203 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button