NasionalpilihanPolitik

209 Ahli Parlimen Sokong RUU Berkait Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti

Setelah menjadi perdebatan hangat baik dalam kalangan rakyat mahu pun ahli Parlimen, negara mencatat sejarah apabila pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 diterima baik.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 yang melibatkan peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti diluluskan di Dewan Rakyat dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

RUU berkenaan diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan seramai 209 Ahli Parlimen yang hadir mengundi untuk menyokong, tiada yang menentang atau berkecuali, manakala 11 tidak hadir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Parlimen sama ada daripada blok Kerajaan, pembangkang dan bebas yang sama-sama melakar sejarah negara.

“Syabas kerana Ahli-ahli Yang Berhormat yang berada di dalam dewan yang mulia telah menjalankan amanah rakyat melalui sistem Demokrasi Berparlimen.

“Rang Undang-Undang ini terhasil selepas pelbagai sesi libat urus, pandangan serta melalui Jawatankuasa Pilihan Khas secara bi-partisan melibatkan wakil parti-parti utama di dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Ismail berkata demikian mengulas sejarah baharu yang tercipta sekali gus menjadikan RUU tersebut sebagai kayu ukur dalam memastikan kestabilan politik yang berpanjangan.

“Terima kasih juga kepada semua 54 Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menyertai sesi perbahasan dan memberikan pandangan mereka.

“Ini adalah isyarat yang jelas bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat mengamalkan politik matang berteraskan semangat Keluarga Malaysia dengan meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam apa-apa
juga perancangan dan pelaksanaan,” jelasnya.

(Visited 116 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button