Nasional

Jangan lupa raikan atlet yang berjaya – Steven

DI SEBALIK kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran 70 pingat emas, masih ada pencapaian atlet yang boleh dibanggakan pada temasya Sukan SEA Ke-30 di Filipina.

Malah kejayaan mereka menyumbang koleksi pingat tanpa mengira warna, serta prestasi ‘mengejut’ yang ditampilkan wajar mendapat pengiktirafan dan dirai.Prestasi yang dipamerkan Raja Pecut Asia Tenggara yang baharu Muhammad Haiqal Hanafi, jaguh lompat tinggi wanita Yap Sean Yee, pemain perseorangan wanita S. Kisona dan Dr Yew Weng Keng (e-sukan) antara yang mencipta sejarah tersendiri di pentas Sukan SEA.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim berkata kejayaan yang diperoleh oleh atlet luar jangka adalah hasil daripada usaha gigih, komitmen dan dedikasi mereka terhadap sukan yang diwakili.

“Semua mereka ini telah menonjolkan prestasi yang tidak disangkakan. Jadi, saya rasa dalam kita muhasabah diri, analisa kekurangan diri, kita jangan lupa untuk meraikan pencapaian atlet kita yang telah bersungguh-sungguh mencipta kejayaan buat kontinjen negara.

Dalam pada itu, Steven tidak menafikan pentas temasya dwitahunan ini adalah sebahagian daripada medan untuk menguji prestasi atlet muda yang pertama kali membuat penampilan di gelanggang kompetitif itu.

Menurut beliau, hampir 50 peratus atlet yang bertanding pada edisi ke-30 ini adalah mereka yang membuat penampilan pertama dan sebahagian daripadanya adalah atlet berusia bawah 21 tahun.

“Kontinjen kita lebih 50 peratus adalah kali pertama. Ini merupakan kali pertama pendedahan dan peluang kepada atlet muda, bukan sahaja peluang kita mencungkil bakat baharu tapi juga peluang kepada mereka untuk mengukur diri dengan pesaing di rantau ini, selain menjadi satu temasya pendedahan untuk program pembangunan kita,” katanya.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button