fbpx
Politik

Penyokong Anwar desak Haniff letak jawatan Pengerusi Perda

BUKIT MERTAJAM – Sekumpulan penyokong tegar Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak peguam Haniff Khatri Abdulla meletakkan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Kumpulan Pro ’98 Reformis Malaysia itu marah terhadap Haniff Khatri kerana menjadi peguam kepada Muhammed Yusoff Rawther yang mendakwa Anwar telah mencabul kehormatannya tahun lalu.

Kumpulan itu mendakwa Haniff Khatri sengaja terbabit dalam “mainan politik kotor” dengan mewakili Muhammed Yusoff.

“Jika Haniff tidak mahu menghentikan politik kotor ini, beliau patut meletak jawatan dalam Perda dan berambus dari Pulau Pinang.

“Haniff perlu tanya dirinya, siapa yang diwakilinya? Beliau ialah pengerusi badan persekutuan, bolehkah beliau membuat sesuatu seperti itu?” kata jurucakap kumpulan itu, Amir Ghazali di Yayasan Aman.


Haniff sebelum ini menolak teori konspirasi termasuk mengaitkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai dalang terhadap tuduhan terbaharu Anwar terlibat dalam serangan seks terhadap lelaki.

Haniff menegaskan beliau mewakili Muhammad Yusoff sebagai seorang peguam profesional.

Yusoff, 26, ialah pembantu penyelidik di pejabat Anwar sehingga awal tahun ini, apabila beliau mendakwa diserang setiausaha politik Ahli Parlimen Port Dickson itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Yusoff dalam sidang media pada 4 Disember lalu mendakwa Anwar telah melakukan jenayah terhadapnya yang disifatkan “tidak Islamik, perbuatan keji, teruk, tersembunyi dan berbahaya, serta tidak bermoral”.

Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan Yusoff dan tuduhan itu adalah cubaan untuk mencemarkan reputasinya.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button