Nasional

Jangan ambil Dexamethasone sewenangnya untuk hindari Covid-19

RAKYAT Malaysia dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya mengambil ubat ubat Dexamethasone untuk mencegah daripada dijangkiti virus Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ujian klinikal mendapati ubat tersebut tidak membantu dalam rawatan pesakit COVID-19 yang hanya mempunyai gejala ringan atau pesakit yang tidak memerlukan bantuan pernafasan.

Hasil dapatan awal Recovery Trial menunjukkan ubat itu hanya dapat mengurangkan risiko kematian iaitu sehingga satu pertiga dalam kalangan pesakit COVID-19 yang mempunyai gejala pernafasan yang serius, terutamanya mereka yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Hasil penemuan saintifik ini penting dalam perkembangan rawatan pesakit COVID-19. KKM ingin mengucapkan syabas kepada kerajaan United Kingdom, University of Oxford dan semua anggota yang terlibat dalam uji kaji klinikal ini.

“Walau bagaimanapun, KKM menyeru orang ramai supaya berwaspada agar tidak menyalahgunakan atau mengambil ubat Dexamethasone tanpa preskripsi daripada doktor. Ini kerana ubat ini juga mempunyai kesan sampingan dan perlu diimbangi dengan keperluan penggunaan ubat ini bagi penyakit-penyakit tertentu,” kata Dr. Hisham.

BACA Ubat Covid-19 ditemui di UK, mampu selamatkan nyawa pesakit kritikal

Menurut beliau, Dexamethasone adalah sejenis ubat steroid yang digunakan untuk mengurangkan radang dalam pelbagai penyakit.

Akhbar di Britain melaporkan Perdana Menteri Britain Boris Johnson memuji kejayaaan pasukan penyelidik yang menemui penawar penyakit Covid-19.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan terbesar yang telah dibuat oleh pasukan saintis hebat di UK. Saya rasa ada sebab yang tulen untuk meraikan pencapaian ilmiah Britain yang luar biasa dan faedah yang akan diperolehnya bukan hanya di negara ini tetapi di seluruh dunia,” kata Boris hari ini.

Medianya melaporkan, pakar perubatan Britain mengesahkan ubat Dexamethasone mampu menyelamatkan satu pertiga daripada pesakit yang kritikal akibat serangan virus maut korona.
Seorang saintis Universiti Oxford Profesor Peter Horby yang mengetuai kajian pengunaan ubat itu di Britain, pada taklimat Downing Street hari menyatakan bahawa, ubat itu dapat menyelamatkan nyawa dengan kos hanya £40 atau sekitar RM200 secara keseluruhan.
Dexamethasone merupakan ubat steroid yang murah dan digunakan selama beberapa dekad telah menjadi ubat pertama yang terbukti dapat mengurangkan kadar kematian dalam kalangan pesakit Covid-19 di hospital.
Menurut pakar itu, ubat yang diberikan sebagai suntikan atau tablet sekali sehari bagaimanapun tidak memberi manfaat kepada pesakit yang tidak memerlukan bantuan oksigen.-SM

 

 

 

 

(Visited 214 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button