NasionalParlimen

Jamin Kerja Keluarga Malaysia sedia lebih 310,000 pekerjaan dan kemahiran

SEJAK COVID-19 melanda, soal pekerjaan terus menjadi tumpuan utama kerajaan.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berikutan itu pada tahun ini maka pelbagai inisiatif di bawah Jamin Kerja Keluarga Malaysia telah berjaya menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran kepada lebih 310 ribu orang setakat ini.

“Sungguhpun kita telah mencapai tahap guna tenaga penuh, namun, tumpuan akan tetap diberikan bagi memastikan peluang kerjaya kepada kumpulan tertentu dalam masyarakat,” katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, mulai tahun hadapan, kerajaan akan meneruskan Insentif Penggajian di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia yang menganggur daripada golongan seperti OKU, orang Asli, bekas banduan dan wanita yang kembali bekerja.

Katanya, insentif penggajian antara RM600 hingga 750 sebulan akan dibayar untuk tempoh tiga bulan kepada majikan.

“Insentif juga akan disediakan kepada golongan veteran serta majikan dan Agensi Pekerjaan Swasta yang menggantikan pekerja asing kepada pekerja tempatan,” katanya.

Beliau berkata, di bawah Insentif Penggajian PERKESO ini, sebanyak RM150 juta disediakan dan dijangka dapat membuka peluang kerjaya kepada lebih 70 ribu pencari kerja.

“Bagi meringankan beban pencari kerja, sukacita dimaklumkan bahawa kerajaan melalui PERKESO akan menyediakan bantuan mobiliti sebanyak RM500
kepada pencari kerja yang mendapat pekerjaan di luar negeri bermastautin,” katanya.

Manakala katanyq, bantuan mobiliti RM1,000 melibatkan penghijrahan jarak jauh iaitu dari Sabah atau Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya. – SM

(Visited 223 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button