Agama

Jakel nafi dakwaan perobohan kuil demi pembinaan Masjid

JAKEL trading Sdn Bhd (Jakel) menegaskan bahawa pembinaan masjid di Jalan Masjid India tidak akan memberi kesan kepada kewujudan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang berada di kawasan tersebut. Syarikat itu menolak sebarang dakwaan bahawa kuil berkenaan akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek tersebut.

Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel, Aiman Darzuki, menjelaskan bahawa perbincangan dengan pihak kuil telah berjalan sejak tahun 2009 bagi memastikan penyelesaian terbaik dapat dicapai tanpa menjejaskan mana-mana pihak.

“Selama lebih sedekad, kami telah mengadakan dialog secara harmoni dengan pihak pengurusan kuil tanpa membawa isu ini ke mahkamah. Kami percaya bahawa penyelesaian yang adil dan saling menghormati adalah pendekatan terbaik,” katanya dalam satu sidang media pada Khamis.

Menurut Aiman, usaha Jakel ketika ini tertumpu kepada pemindahan kuil ke lokasi baharu dengan kerjasama kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Tidak timbul isu merobohkan kuil kerana yang diutamakan ialah perpindahan yang teratur serta persetujuan daripada pihak kuil,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Aiman turut memaklumkan bahawa tanah bagi pembinaan masjid tersebut telah menjadi milik penuh syarikat sejak 2012 melalui pembelian sah daripada DBKL.

Beliau turut menjelaskan bahawa tanah tersebut telah diwakafkan oleh pengasas Jakel, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad, bagi tujuan pembinaan masjid untuk manfaat komuniti setempat.

“Kelulusan pembangunan telah diperoleh pada tahun 2020, manakala pelan bangunan diluluskan pada tahun 2021. Masjid ini akan dibina setinggi tiga tingkat dengan tambahan sub-basement,” katanya.

Namun, beliau menegaskan bahawa pembinaan masjid masih ditangguhkan kerana menghormati status kuil yang masih beroperasi di tapak tersebut.

Mengulas mengenai majlis pecah tanah yang dijadualkan pada 27 Mac ini, Aiman menyatakan bahawa acara tersebut hanyalah simbolik kepada komitmen syarikat terhadap pembinaan masjid dan bukan bermakna kerja pembinaan akan dimulakan serta-merta.

“Lokasi majlis ini jauh dari kawasan kuil, dan pihak pengurusan kuil juga dijemput menghadirinya. Kami masih menunggu proses pemindahan selesai sebelum sebarang pembinaan dimulakan,” jelasnya.

Beliau turut memuji usaha kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, dalam memastikan penyelesaian terbaik dicapai.

“Sehingga kini, tiada sebarang kerja pembinaan dilakukan kerana keutamaan kami ialah memastikan proses pemindahan kuil dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Jakel Group, Datuk Syed Nashrul Fahmi Syed Mahmud, berkata perbincangan dengan pihak kuil masih berlangsung dan DBKL telah mencadangkan beberapa lokasi alternatif untuk pemindahan.

“DBKL dan Jakel komited dalam mencari lokasi terbaik bagi pihak kuil. Beberapa cadangan telah dikemukakan, tetapi pihak kuil masih mempertimbangkan pilihan yang ada,” ujarnya.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa kuil tersebut akan dirobohkan tanpa sebarang perbincangan.

“Naratif ini tidak tepat kerana dari awal lagi, kami mengambil pendekatan rundingan dan penyelesaian yang harmoni serta saling menghormati,” tambahnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button