Hiburan

Jadi duta usahawan didakwa terlibat penyeludupan dadah, Khai akui akan lebih berhati-hati

BARU-baru ini tular gambar penyanyi, Khai Bahar dengan seorang usahawan kosmetik wanita yang didakwa terlibat dengan aktiviti penyeludupan dadah.

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin dikatakan menjadi seorang duta kepada satu daripada produk kosmetik tersebut.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Bayang itu mengakui yang dia ada menjalin kerjasama dengan usahawan tersebut tetapi tidak mengetahui apa-apa perkara lain selain itu.

“Saya tidak tahu apa-apa pun yang berlaku dan sebenarnya tanggungjawab saya ialah menjadi duta produk susu berperisa manggsa.

“Ada juga dengar berkenaan dakwaan tersebut (aktiviti jenayah) dan kami serahkan perkara ini kepada peguam,” katanya ketika ditemui Suara Merdeka baru-baru ini.

Ditanya sama ada dia akan mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menjadi duta atau sebaliknya, Khai memberitahu yang perkara itu masih lagi dalam perbincangan.

Jelasnya, apa yang berlaku ini adalah perkara yang pertama dialaminya sepanjang bergiat aktif dalam bidang seni dan menyerahkan perkara tersebut kepada pengurusnya.

Mengulas berkenaan gambarnya bersama usahawan tersebut seperti yang disebarkan, Khai mengaku bahawa itu adalah gambarnya.

“Saya tidak kisah pun bila ada orang sebarkan gambar tersebut sebab memang saya ada ambil gambar dengannya dalam satu majlis pada bulan September lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Khai juga memberitahu yang dia akan lebih berhati-hati dalam menjalinkan kerjasama dengan mana-mana produk.

Tambahnya, apa yang berlaku sekarang dijadikan satu tauladan buatnya untuk meneliti dahulu latar belakang produk dan pemilik sebelum menyatakan sebarang kata persetujuan.

Sebelum ini, gambar Khai tular dilaman sosial susulan kisah penahanan seorang usahawan wanita yang didakwa terlibat dengan aktiviti penyeludupan dadah. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button