Nasional

Isu perkauman, agama membebankan PDRM – KPN

KETUA Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan isu-isu perkauman dan agama yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak sejak kebelakangan ini sebagai membebankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata dalam usaha PDRM mahu memberi fokus kepada meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik, adil dan telus kepada rakyat, pasukan keselamatan itu dibebani dengan isu-isu di luar jangka.

“Isu ini membebankan PDRM, ia tidak sepatutnya timbul. Selepas 62 tahun kita merdeka, kita sepatutnya bijak dalam berfikir tetapi menyedihkan. Nampak gayanya semakin matang negara ini, semakin kurang matang pula pemikiran sesetengah pihak…mendukacitakan.

Saya minta pihak-pihak yang suka menyentuh isu-isu perkauman dan agama cuba berfikiran matang sedikit. Akhirnya nanti kalau berlaku kekacauan kita semua yang rugi, tiada siapa yang untung,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan 5,500 peserta ‘Kayuhan & Larian Ria’, di Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai suara sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan perintah mahkamah bagi melarang penganjuran persidangan membantah tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular, yang dijadual berlangsung di Kajang, esok.

Abdul Hamid berkata beliau percaya tindakan polis memohon perintah mahkamah adalah atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu pembatalan persidangan itu dan menyerahkannya kepada Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaluddin dan Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

“Adalah lebih baik persidangan itu dibatalkan ataupun dibuat semula dalam bentuk yang tidak menyentuh emosi dan sentimen orang lain. Saya kuat berpegang teguh kepada prinsip demokrasi. Rakyat bebas untuk bersuara tapi dalam parameter yang selamat.

Sekiranya ada unsur provokasi, polis adalah pihak yang paling layak untuk buat penilaian. Saya sebagai Ketua Polis Negara tidak ada agenda tersirat atau sempit untuk menggagalkan persidangan itu. Saya tidak bermain politik,” tegasnya.

Ahmad Dzaffir dalam kenyataannya berkata polis telah menyerahkan perintah mahkamah itu kira-kira pukul 5.00 petang tadi.

Susulan itu, pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) dalam kenyataan bersama memaklumkan bahawa persidangan itu dibatalkan selepas menerima perintah mahkamah itu, petang tadi.
— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button