JenayahNasionalNegeri

Isteri kena tegas jangan seumur hidup jadi mangsa dera

SANGAT sukar sekali untuk membawa suami yang melakukan penderaan ke atas isteri ke muka pengadilan sehingga menerima hukuman setimpal. Kalau adapun isteri yang sanggup ke balai polis membuat laporan tetapi biasanya hanya separuh jalan.

Rata-rata mangsa masih sanggup membiarkan penderaan terus berlaku dek kasih sayang yang mendalam dan bimbang jika kehilangan tempat pergantungan. Sebenarnya jika terus membiarkan ini akan membuatkan suami pendera akan mengulangi perbuatan tanpa rasa bersalah.

Rosilawati Jusoh

“Jika isteri buat laporan polis, inilah sahaja jalan untuk mengajar lelaki pendera ini sedar akan kesalahannya,” kata Asisten Superitendan, Rosilawati Jusoh dari Bahagian Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen Perlis (IPK) Perlis.

Beliau berkata demikian pada Seminar Wanita Bertadabbur anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Perlis, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Persatuan Al-Islah Perlis dan Rumah Lavender di Dewan Warisan, Kangar, Perlis.

Sehubungan itu kata Rosilawati berkata, sukar untuk pihak polis membawa kes ini ke mahkamah.

“Ada yang membuat laporan polis tetapi apabila kita mengarahkan menjalani pemeriksaan di hospital, enggan berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata, bukti kecederaan akibat penderaan antara prosedur siasatan yang diperlukan setelah laporan polis dibuat.

Katanya, bahan bukti juga tidak kukuh jika laporan lambat dibuat kerana kesan lebam akibat dipukul telah pulih.

Selain itu katanya, apabila kes hendak dibawa ke mahkamah pula ada yang mahu kes ditarik balik.

Bagaimanapun katanya, ia tidak semudah itu kerana perbicaraan kes adalah tertakluk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Sementara itu, Peguam Syarie dan Perunding Keluarga Islam, Raudzah Noh @ Mat Rejab berkata, sikap bersabar di kalangan wanita yang menjadi mangsa dera suami sebenarnya tidak kena pada tempatnya.

Beliau berkata, wanita sebenarnya ada hak dan perlindungan dari segi undang-undang sivil dan syariah.

“Isteri dibolehkan keluar dari rumah dengan bersebab dan tidak boleh dikatakan nusyuz jika suami tidak memberi nafkhah atau didera,” katanya.

Beliau berkata, wanita juga berhak mendapat perlindungan undang-undang dari dikacau ganggu suami.

Katanya, rundinglah dengan peguam supaya segala tindakan mengikut undang-undang dan menjaga keselamatan diri di sepanjang kes tuntutan fasakh dan sebagainya.

Seminar sehari ini dirasmikan oleh Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim dan penutupan oleh Timbalan Ketua Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) IPK Perlis, Deputi Superitendan, Surirani Ali. – SM

(Visited 332 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button