Politik

Isteri gigih bantu kempen suami tanding DUN Simpang Jeram

MUAR 3 Mac – Isteri kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Datuk Lokman Md. Don sanggup menghantar empat anaknya kepada makcik demi membantu suaminya sepanjang kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Datin Norazrina Jemadin, 36, gigih mengiringi suaminya sejak dari awal pagi hingga lewat malam semata-mata ingin membantu memenangi sokongan pengundi bagi memilih BN menang di Simpang Jeram.

Malah beliau sanggup menaiki motosikal, berhujan, berpanas dan sebagainya demi membantu suaminya mengikuti kempen setiap hari.

Menurutnya, demi sokongan kepada suaminya, empat orang anak berusia antara setahun hingga enam tahun dihantar ke rumah makciknya untuk dijaga sehingga hari mengundi pada 12 Mac ini.

“Saya sudah biasa dengan kerja-kerja kempen sebegini. Saya bantu suami aturkan program sepanjang tempoh berkempen.

“Saya pernah bekerja sebagai Pegawai Eksekutif sewaktu Tan Sri Isa Abdul Samad menjadi Pengerusi Felda sebelum ini.

“Pengalaman ini saya gunakan untuk meraih sokongan pengundi selain itu perwatakan suami saya kuat bekerja dan mesra rakyat memberikan harapan untuk menang,” ujarnya.

Norazrina berkata, buat masa ini dia mengenepikan segala urusan rumah tangganya buat sementara waktu demi memastikan kemenangan memihak kepada suaminya.

Sebagai isteri kata anak kelahiran Pontian itu beliau akan sentiasa bersama suaminya dan menyokong setiap usaha yang dilakukan sepanjang kempen.

Beliau berharap pengundi di DUN Simpang Jeram akan memilih suaminya sebagai wakil rakyat di situ.

Saingan empat penjuru di DUN Simpang Jeram turut membabitkan penyandang, Datuk Seri Salahuddin Ayob (PH), calon Perikatan Nasional (PN), Ustaz Zarul Salleh dan Mahaizal Mahmor (Pejuang)

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button