Negeri

Istana berperanan penting dalam kemaslahatan bernegara dan negeri

Pemerintah berperanan dan bertanggungjawab mengurus urusan rakyat di bawahnya, selaras dengan kemaslahatan kehidupan bernegeri atau bernegara. Bagi negara ini Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong merupakan pemerintah yang tertinggi. Manakala di negeri Perlis, Raja merupakan pemerintah dan ketua agama yang tertinggi dalam negeri ini.

Islam memberikan kedudukan yang mulia buat pemerintah di mana ketaatan kepada mereka dalam perkara makruf merupakan antara perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam. Allah SWT menggandingkan ketaatan kepada-Nya dan Rasul dengan ketaatan kepada ulul amri.

Demikian dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor selepas menyertai program Kayuhan MAIPs Peduli Khas yang dianjurkan oleh pihak MAIPs sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Behor Temak, Kangar.


Kayuhan amal yang bertujuan untuk menyantuni dan menghulurkan bantuan kepada golongan asnaf ini dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu diketuai sendiri oleh Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyampaikan bantuan agihan zakat MAIPs kepada Zainol Saari, 67 tahun dari Kampung Behor Gonchar, Saedin Musa, 42 tahun dari Kampung Kota Keran dan Musadi Azali, 45 tahun dari Kampung Telok Kacang.

Setiap daripada mereka menerima bantuan wang tunai RM700, Kits MAIPs Peduli serta dua kampit beras fidyah bagi menampung keperluan harian masing-masing.

Baginda yang diiringi oleh ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan turut mengadakan lawatan ke Laman Woodball Dataran Datuk Sheikh Ahmad bagi sesi perkenalan permainan Woodball. Para peserta berpeluang untuk mempelajari asas teknik dan jenis pukulan seterusnya undang-undang bagi permainan Woodball yang mana negeri Perlis merupakan kuasa besar dengan majoriti pemain utama pasukan kebangsaan pada ketika ini adalah dari Perlis.

Tuanku Pemangku juga turut berkenan singgah di Pasar Terapung JPS di Kangar yang nerupakan destinasi popular pada hujung minggu terutamanya ketika Kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 ini sedang giat berlangsung.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button