Ismail Sabri tidak pernah menandatangani SD sokong Muhyiddin atau Anwar
PERDANA menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menandatangani sebarang akuan berkanun (SD) sebagai sokongan sama ada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sumber berkata Ismail Sabri merasakan Barisan Nasional (BN) sepatutnya berada dalam blok pembangkang di Dewan Rakyat.
“Berdasarkan tangkapan skrin perbualan yang tular semalam, menunjukkan Ismail Sabri tidak mahu menyertai mana-mana gabungan, sama ada PN atau PH,” kata sumber itu.
Sebelum ini dilaporkan nama Ismail Sabri tidak termasuk dalam senarai 20 ahli parlimen BN yang didakwa menandatangani SD menyokong Muhyiddin.
Dilaporkan juga bahawa kesemua 30 ahli parlimen BN sedang berbincang tentang tidak memberi sokongan kepada gabungan lain atau calon perdana menteri mereka.
Sebaliknya, mereka bercadang untuk mengemukakan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong agar kerajaan sementara sekarang meneruskan tugasnya sehingga kerajaan baharu boleh dibentuk.
Orang dalam parti mendakwa ahli parlimen BN bersetuju menandatangani SD baharu pagi ini bagi menyatakan cadangan mereka kepada raja supaya dokumen itu dapat dihantar ke istana sebelum jam 2 petang hari ini.
Perlumbaan untuk menjadi perdana menteri ke-10 masih diteruskan dengan Anwar dan Muhyiddin di barisan hadapan pertempuran. -SM