Politik

10 ADUN Perak angkat sumpah

KUALA KANGSAR – Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini pada Selasa.

Istiadat pelantikan itu berlangsung di Balai Istiadat Kecil di Istana Iskandariah, Bukit Chandan dekat sini.

Turut berangkat pada istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Dihilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Tiga daripada ADUN berkenaan merupakan wakil rakyat BN daripada UMNO iaitu Datuk Zolkafly Harun (Lintang); Salbiah Mohamed (Temengor) dan Khairuddin Abu Hanipah (Belanja).

Manakala tujuh lagi merupakan gabungan parti daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu empat wakil DAP, A Sivanesan (Sungkai), Loh Sze Yee (Jalong), Teh Kok Lim (Aulong) dan Woo Kah Leong (Pasir Bedamar).

Turut mengangkat sumpah dua ADUN PH daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sandrea Ng Shy Ching (Teja) dan Mohd Azlan Helmi (Tualang Sekah) serta seorang wakil Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Sungai Rapat).

Pelantikan 10 ADUN itu mendapat perkenan daripada Sultan Nazrin selepas nama mereka dipersembahkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad kepada baginda.

Mendahului mengangkat sumpah itu adalah Zolkafly, Mohammad Nizar dan Sivanesan, masing-masing pernah memegang jawatan Exco di bawah pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

Diikuti Sze Yee, Salbiah, Kok Lim, Sandrea, Khairuddin, Mohd Azlan dan Kah Leong yang merupakan lantikan baharu bagi jawatan berkenaan.

Kesemua mereka kemudian menandatangani surat sumpah dengan disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Barisan Exco berkenaan terbentuk daripada kerjasama BN dan PH yang bersetuju untuk bergabung membentuk kerajaan negeri.

Pembentukan kerjasama menerusi gabungan dua parti itu memperoleh sokongan 33 ADUN daripada keseluruhan 59 kerusi, sekali gus melepasi majoriti mudah 30 kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Kerjasama itu turut bersetuju melantik Saarani yang juga ADUN Kota Tampan daripada BN sebagai Menteri Besar Perak.

Pada Isnin, Saarani telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-15 di hadapan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah, di sini.

Keputusan PRU15 yang diumum pada Sabtu menyaksikan PH berjaya menenangi 24 kerusi dan BN sembilan kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 26 kerusi.

(Visited 189 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button